Terdapat beberapa tanda yang boleh dikenal pasti untuk menilai kecenderungan sikap anak ketika membesar. -Gambar hiasan AI
PERWATAKAN anak lelaki yang gemar berkawan dengan perempuan, bercakap nada lembut atau kurang meminati aktiviti lasak sering kali mengundang rasa bimbang dalam kalangan ibu bapa.Mana tidaknya, dengan kehadiran tanda-tanda tersebut, ramai ibu bapa tentunya risau sekiranya anak mereka akan membesar dan menjadi 'lembut' sekiranya sikap tersebut terus dibiarkan. Sementara itu, dalam usaha mengenal pasti punca, ada juga ibu bapa percaya kecenderungan tersebut berkemungkinan berpunca akibat masalah berkaitan hormon testosteron. Menjawab persoalan berkenaan, pengamal perubatan, Dr Ahmad Samhan menjelaskan hormon testosteron bukan satu-satunya punca membentuk perlakuan tertentu dalam diri seorang kanak-kanak lelaki.Menurutnya, ini kerana dari sudut perubatan, hormon testosteron sememangnya memainkan peranan penting dalam perkembangan fizikal lelaki, terutamanya ketika fasa akil baligh."Hormon ini membantu perkembangan otot, perubahan suara, pertumbuhan bulu badan dan kematangan organ reproduktif."Tetapi ada satu perkara yang mak ayah perlu faham. Cara anak bercakap, berjalan atau bermain bukanlah ukuran tahap testosteron dalam badannya. "Malah, perwatakan feminin ketika kecil juga tidak boleh digunakan untuk meramalkan identiti gender atau orientasi seksual seseorang apabila dewasa," katanya menerusi satu hantaran di Threads.Sehubungan itu, Dr Ahmad menjelaskan terdapat tiga tanda kesihatan sebenar yang patut diberikan perhatian oleh ibu bapa berbanding sekadar melihat kepada gaya dan perwatakan luaran anak.Antara perkara utama perlu diperhatikan adalah kelewatan tanda akil baligh apabila sudah mencapai usia 14 tahun.Selain itu, ibu bapa juga perlu peka sekiranya terdapat perkembangan alat kelamin yang dilihat tidak normal pada anak mereka.Tanda ketiga perlu diambil berat menurut Dr Ahmad adalah apabila pertumbuhan fizikal anak lelaki berlaku terlalu perlahan berbanding perkembangan biasa untuk kumpulan usia mereka.Jelasnya lagi, ketiga-tiga tanda berkenaan boleh berpunca daripada pelbagai faktor dan memerlukan penilaian lanjut oleh doktor.Dalam pada itu, Dr Ahmad turut menasihati ibu bapa agar tidak terlalu cepat menghukum anak-anak hanya kerana mereka mempunyai perwatakan yang berbeza."Anak lelaki yang lembut bukan bermaksud dia kurang lelaki. Anak lelaki yang lasak bukan pula bermaksud hormonnya lebih tinggi."Sebagai ibu ayah, kita perlu membimbing anak dengan kasih sayang, membina keyakinan dirinya dan memastikan perkembangan kesihatannya berada pada tahap yang baik. "Sebab anak yang membesar dalam ketakutan untuk menjadi dirinya sendiri juga boleh terkesan dari sudut kesihatan mental," ujarnya lagi.