suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Bukan sekadar tempah tiket dan hotel, ini ‘checklist’ 13 perkara perlu diberi perhatian sebelum umrah DIY

Bimbingan mutawif boleh membantu jemaah memahami pelaksanaan ibadah umrah. -Gambar hiasan AI

MENUNAIKAN umrah secara persendirian (DIY) tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan mungkin kedengaran mencabar, terutama bagi mereka yang pertama kali mengerjakan ibadah berkenaan.

Namun dengan perancangan rapi serta persediaan mencukupi, perjalanan ke Tanah Suci boleh diuruskan sendiri mengikut bajet dan kesesuaian masing-masing.

Seorang wanita dikenali sebagai Aasyrina menyenaraikan 13 persediaan penting bermula daripada pembelian tiket penerbangan sehinggalah urusan mendapatkan slot masuk ke Raudhah.

Menurutnya, perkara pertama perlu diberi perhatian ialah pembelian tiket penerbangan kerana kos berkenaan biasanya melibatkan perbelanjaan terbesar sepanjang perjalanan.

Bagi perjalanan keluarganya, mereka memilih penerbangan multi-city iaitu tiba di Jeddah dan pulang ke Malaysia dari Madinah tanpa berpatah balik ke Jeddah.

Persediaan ilmu menerusi kursus umrah antara perkara penting sebelum berangkat ke Tanah Suci. -Gambar hiasan

Dia turut menyarankan bakal jemaah membuat kajian sama ada mahu mengunjungi Makkah atau Madinah terlebih dahulu mengikut keselesaan masing-masing.

Selain itu, pemilihan hotel juga perlu mengambil kira musim perjalanan kerana harga penginapan lazimnya lebih tinggi ketika musim puncak.

Berdasarkan pengalamannya, mereka memilih hotel Elaf Bakkah di kawasan Mahbas Jin ketika berada di Makkah dan menggunakan bas ulang-alik untuk ke Masjidilharam.

Sementara itu, ketika di Madinah, mereka menginap di Durrat Al Eiman atau Kingsgate Durrat Hotel yang terletak berhampiran Masjid Nabawi, sekali gus memudahkan pergerakan terutama ke pintu masuk jemaah wanita.

Berikut 'checklist' 13 persediaan sebelum mengerjakan umrah DIY.

1. Beli tiket penerbangan

Tiket penerbangan merupakan antara komponen terbesar dalam kos umrah. Oleh itu, bakal jemaah disarankan membuat perbandingan harga dan meneliti pilihan penerbangan sebelum membuat tempahan.

2. Tempah hotel

Pilih penginapan berdasarkan lokasi, bajet dan musim perjalanan. Jika bukan musim puncak, hotel yang agak jauh dari Masjidilharam boleh dipertimbangkan sekiranya menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik.

Bagi tempahan, dia turut berkongsi bahawa platform seperti Trip.com, Agoda dan Booking.com boleh digunakan. Sebaiknya pilih pembayaran awal bagi mengelakkan risiko tempahan bilik tidak tersedia apabila tiba di hotel.

3. Mohon visa

Bagi perjalanan DIY, wanita itu berkongsi bahawa mereka menggunakan visa pelancong.

Permohonan boleh dibuat selepas maklumat penerbangan dan penginapan tersedia kerana butiran berkenaan diperlukan ketika mengisi borang.

4. Dapatkan khidmat mutawif

Walaupun menguruskan perjalanan sendiri, wanita itu memilih untuk mendapatkan khidmat mutawif kerana ia merupakan pengalaman umrah pertama keluarganya.

Mereka mendapatkan bimbingan mutawif yang membantu sepanjang urusan ibadah, termasuk pengambilan dari lapangan terbang Jeddah serta panduan perjalanan ke Masjidilharam.

5. Tempah pengangkutan Makkah ke Madinah

Terdapat beberapa pilihan pengangkutan untuk perjalanan antara kedua-dua kota suci itu, termasuk bas, kereta api laju dan kenderaan persendirian.

Keluarganya memilih perkhidmatan kereta api laju Haramain melalui aplikasi HHR Train kerana lebih menjimatkan masa dan memudahkan perjalanan.

Dia turut menyarankan bakal jemaah membuat tempahan lebih awal kerana harga tiket boleh meningkat apabila tarikh perjalanan semakin hampir.

6. Hadiri kursus umrah

Bakal jemaah disarankan menghadiri kursus umrah bagi memahami tatacara ibadah serta perkara yang perlu dilakukan sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurutnya, mutawif yang membimbing keluarganya turut mengadakan sesi suai kenal dan taklimat menerusi Google Meet sebelum mereka berlepas.

7. Dapatkan perlindungan insurans

Wanita itu turut berkongsi bahawa keluarganya mengambil perlindungan menerusi AlKhairi dan Etiqa 360 sebagai langkah berjaga-jaga.

Dia menceritakan anak lelakinya pernah mengalami sakit kaki sehingga sukar berjalan selepas menunaikan umrah.

Mereka kemudian mendapatkan rawatan di klinik panel berhampiran Clock Tower termasuk pemeriksaan pakar ortopedik dan X-ray tanpa perlu mengeluarkan bayaran, berdasarkan perlindungan yang dimiliki.

Sementara itu, Etiqa 360 diambil bagi perlindungan berkaitan perjalanan seperti kelewatan atau pembatalan penerbangan serta masalah bagasi, tertakluk kepada terma dan syarat polisi.

8. Ambil vaksin yang diperlukan

Keluarganya memilih untuk mendapatkan suntikan meningokokus dan influenza kira-kira dua minggu sebelum berlepas.

Bakal jemaah disarankan mendapatkan nasihat klinik atau doktor mengenai keperluan vaksinasi serta syarat kesihatan semasa perjalanan.

9. Muat turun aplikasi Nusuk

Aplikasi Nusuk penting untuk menguruskan beberapa urusan jemaah, termasuk mendapatkan slot masuk ke Raudhah di Madinah.

Wanita itu menyarankan bakal jemaah memuat turun aplikasi berkenaan dan melengkapkan pendaftaran menggunakan maklumat visa masing-masing sebelum berlepas.

10. Rancang pengambilan ubat bagi wanita

Bagi wanita yang menjangkakan tarikh haid bertembung dengan tempoh perjalanan, dia menyarankan supaya mendapatkan konsultasi doktor lebih awal.

Berdasarkan pengalamannya, doktor memberikan ubat Norcolut bagi melambatkan haid.

Bagaimanapun, pengambilan ubat berkenaan perlu mendapat nasihat dan preskripsi doktor kerana kesesuaian serta dos bergantung kepada keadaan individu.

11. Sediakan eSIM atau perkhidmatan perayauan

Untuk kemudahan komunikasi dan akses internet, bakal jemaah boleh memilih sama ada menggunakan eSIM atau perkhidmatan perayauan (roaming).

Keluarganya memilih eSIM yang dibeli menerusi Klook dengan kuota satu gigabait sehari untuk tempoh 10 hari pada harga sekitar RM38 seorang.

12. Muat turun dan daftar aplikasi Careem

Selain aplikasi pengangkutan yang biasa digunakan, wanita itu turut menyarankan bakal jemaah memuat turun Careem yang menawarkan perkhidmatan seperti e-hailing.

13. Tempah slot masuk Raudhah

Satu lagi perkara penting ialah mendapatkan slot masuk ke Raudhah menerusi aplikasi Nusuk.

Bakal jemaah perlu sentiasa menyemak aplikasi berkenaan bagi mengetahui ketersediaan slot sebelum memilih tarikh dan waktu yang bersesuaian.

Menurutnya, tempahan menerusi Nusuk perlu dibuat kerana akses masuk ke Raudhah kini dikawal melalui sistem permit.

Artikel Lain