Permohonan maaf berkenaan dibuat ketika Prabowo berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak Asean ke-49. -Foto BPMI Setpres
PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto menyampaikan permohonan maaf kepada Malaysia dan Singapura selepas kebakaran hutan di negaranya mengakibatkan jerebu rentas sempadan.Prabowo mengakui asap daripada kebakaran yang mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal itu turut menjejaskan negara jiran. Permohonan maaf berkenaan dibuat ketika Prabowo berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina pada Ahad."Saya ingin meminta maaf kepada negara tetangga. Semasa ada kebakaran hutan besar, kami memerlukan masa hampir empat bulan untuk dikendalikan."Asap telah datang ke Malaysia dan Singapura. Ini bukan kesalahan kami, tapi sekali lagi kami minta maaf. Kami sudah lakukan yang terbaik," katanya.Dalam ucapannya, Prabowo turut menjelaskan tindakan yang diambil kerajaan Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah, termasuk mengenakan tindakan terhadap syarikat yang terlibat.Menerusi kenyataan Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden Indonesia, kerajaan negara itu mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap pihak yang bertanggungjawab mencetuskan kebakaran."Kita sudah membatalkan 17 konsesi syarikat. Sebanyak 26 syarikat sedang disiasat dan 11 sudah didakwa.“Sebanyak 23 lagi syarikat dijadualkan didakwa, manakala keseluruhannya 104 syarikat sedang disiasat pasukan polis," katanya lagi.Selain tindakan undang-undang, seramai 71,000 anggota turut dikerahkan bagi operasi memadam kebakaran hutan.Operasi itu bagaimanapun menyaksikan 16 anggota terkorban, manakala ramai lagi mengalami kecederaan.Prabowo turut berpandangan usaha menangani kebakaran hutan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada operasi pemadaman selepas kejadian berlaku.Sebaliknya, langkah pencegahan perlu diperkasakan dengan lebih agresif bagi mengelakkan insiden sama berulang.Bagi tujuan itu, sebuah agensi baharu bakal ditubuhkan untuk melaksanakan pelbagai program dalam memperkukuh usaha pencegahan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.