suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tuju enggan keruhkan keadaan, tangguh hantar notis tuntutan kepada K-Clique

Tuju kongsi luahan hatinya di podcast.

BEKAS anggota kumpulan K-Clique, Tuju masih belum menghantar notis tuntutan (LOD) kepada bekas rakan sekumpulannya bagi menuntut bayaran royalti yang didakwa tertunggak sejak empat tahun lalu.

Tuju atau nama sebenarnya Mohd Azree Shah Awang Zamree, 30, berkata dia masih memberi ruang kepada anggota kumpulan berkenaan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik memandangkan mereka pernah menjalin persahabatan sejak awal pembabitan dalam industri muzik.

Menurut Tuju, tindakan bersuara bukan bertujuan menyakiti mana-mana pihak, sebaliknya dia hanya mahu mendapatkan hak yang sepatutnya menjadi miliknya serta jaminan untuk masa depan isteri dan anak-anak.

Tuju jelaskan niat awalnya mengambil tindakan undang-undang.

“Saya bersuara sebab itu titik peluh saya, hak anak-anak dan isteri apabila saya meninggal dunia. Bukan ingin menyakiti orang lain, cuma saya tertanya-tanya di mana kematangan kita pada usia 30 tahun.

“Kenapa saya tangguhkan LOD? Semuanya bergantung kepada mereka. Sejujurnya, saya tidak mahu menghantar surat kerana mereka kawan dan sebelum ini mereka membayar saya seperti biasa.

“Tetapi apabila saya mula berdiam diri, mereka juga senyap selama empat tahun. Selepas saya bersuara pun masih tiada balasan,” katanya semasa menjadi tetamu podcast Sembang Oh Yeah yang disiarkan di saluran YouTube.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada ahli K-Clique hubungi Tuju selepas isu royalti dibangkitkan, pintu rundingan masih dibuka

ARTIKEL BERKAITAN: Tuju hantar notis tuntut royalti tertunggak empat tahun, ahli K-Clique lain masih kunci mulut

Tambah Tuju, dia sebenarnya sudah mempunyai laporan serta maklumat lengkap berhubung jumlah bayaran royalti yang masih belum diterima.

Bagaimanapun, dia memilih untuk menangguhkan tindakan undang-undang itu bagi memberi peluang kepada bekas rakan sekumpulannya untuk tampil berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya tiada niat nak menyakiti sesiapa atau kumpulan itu, tetapi itu pilihan mereka apabila tidak mahu memberikan sebarang maklum balas.

“Saya sudah ada laporan dan jumlahnya, tetapi duit masih belum diterima. Sudah empat tahun lebih, tahun depan masuk lima tahun. Kalau terus berdiam diri, mungkin sampai tujuh atau lapan tahun. Jadi bila lagi saya nak ambil tindakan?

Saya datang dengan aman, bukan mahu tunjuk saya bagus dan mereka jahat.

TUJU

PENYANYI RAP

“Saya mahu berbincang tetapi mereka tidak mahu tampil ke hadapan. Saya pun banyak kekurangan, tetapi apabila perkara ini berlaku dengan orang yang bersama saya sejak hari pertama, adakah saya masih dibuli?

“Saya datang dengan aman, bukan mahu tunjuk saya bagus dan mereka jahat. Sebagai orang matang, saya mahu membuat keputusan dan mengawal emosi sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuju mengakui dia tidak berminat untuk memanjangkan perselisihan tersebut kerana kini lebih selesa menjalani kehidupan bersama keluarga selain memberi tumpuan kepada kerjaya muzik dan perniagaan.

Tuju didakwa mula keluar daripada kumpulan sejak 2022 lalu.

Katanya, dia hanya mahu perkara berkenaan diselesaikan segera kerana sudah menunggu terlalu lama.

“Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Hantar anak awal pagi, pergi kedai pada waktu malam, fokus album dan cari rezeki. Esok ulang lagi rutin sama.

“Saya tahu mereka juga begitu. Jadi mudah sahaja, saya datang ke hadapan dan cari penyelesaian. Apa yang berlaku sekarang bergantung kepada keputusan mereka yang tidak membalas mesej saya.

“Empat tahun baru saya bersuara kerana percaya kepada mereka dan menganggap mereka matang. Saya minta maaf dan tahu saya bukan sempurna, tetapi niat saya cuma mahu hak saya dikembalikan,” katanya lagi.

Tuju hanya mahu menuntut haknya.

Sebelum ini, Tuju menerusi hantaran di Threads memberi gambaran bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap K-Clique berhubung isu royaliti lagu ciptaannya yang didakwa masih tertunggak.

Malah dia juga memuat naik bukti menunjukkan hantaran mesej yang sudah dihantar kepada anggota kumpulan berkenaan namun tiada balasan sejak 1 Jun lalu.

Pada akhir 2022, timbul spekulasi mengenai tindakan Tuju meninggalkan K-Clique, namun penyanyi rap itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai tindakan itu.

Selepas hampir dua tahun, Tuju akhirnya menjelaskan keputusan untuk bergerak solo dibuat atas kehendaknya sendiri.

Selain Tuju dan FareedPF, K-Clique turut dianggotai MK, Noki, Somean, KDeaf, Gnello dan NastyNas.

Artikel Lain