suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Bayi bukan influencer nak kena ikut trend! Ini 4 tip elak ibu bapa pokai sambut anak pertama

Ibu bapa tak sepatutnya membazirkan wang semata-mata demi trend media sosial. -Gambar hiasan AI

KEHADIRAN cahaya mata memberikan pengalaman cukup bermakna, terutamanya buat pasangan yang baru bergelar ibu bapa.

Namun, di sebalik keterujaan menyambut kehadiran si kecil, banyak perkara perlu diberikan perhatian termasuk soal kewangan.

Daripada membeli keperluan bayi, menyediakan simpanan kecemasan hinggalah merancang perbelanjaan, semuanya perlu diuruskan dengan baik supaya kehidupan keluarga lebih teratur.

Bagi ibu bapa baharu yang masih menyesuaikan diri dengan komitmen kewangan selepas kelahiran anak, berikut empat tip yang boleh diamalkan.

1. Bayi bukan influencer, tak perlu ikut semua trend!

Pada zaman media sosial, ibu bapa mudah terpengaruh dengan pelbagai produk bayi yang tular, lebih-lebih lagi apabila melihat anak orang lain menggunakan barangan berjenama atau kelengkapan mahal.

Hakikatnya, bayi tidak tahu apa-apa tentang jenama, trend atau harga sesuatu barang.

Apa yang penting ialah keperluan, keselesaan dan keselamatan mereka.

Banyak sebenarnya kos yang perlu ditanggung apabila memiliki cahaya mata. -Gambar hiasan AI

Jadi, jangan rasa 'terpaksa' membeli sesuatu produk hanya kerana ia popular dalam kalangan ibu bapa di media sosial.

Jika barangan asas seperti pakaian, botol susu, lampin dan tempat tidur yang selamat sudah mencukupi, tidak perlu berbelanja lebih semata-mata mahu mengikut trend.

2. Asingkan wang simpanan sebaik menerima gaji

Apabila mempunyai anak, perbelanjaan harian pastinya bertambah. Sebab itu, ibu bapa baharu digalakkan membina tabiat menyimpan wang secara konsisten.

Setiap kali menerima gaji, asingkan sejumlah wang untuk simpanan sebelum menggunakannya bagi perbelanjaan lain.

Jumlahnya tidak semestinya besar.

Ibu bapa boleh bermula dengan RM50 atau RM100 sebulan mengikut kemampuan, kemudian meningkatkannya apabila kewangan semakin stabil.

3. Jangan beli semua barang bayi sekali gus

Keterujaan menyambut kelahiran anak kadangkala membuatkan ibu bapa membeli terlalu banyak barang sebelum bayi dilahirkan.

Tabungan untuk masa depan anak-anak juga merupakan satu perkara yang tidak wajar diabaikan. -Gambar hiasan AI

Sedangkan, ada barangan yang mungkin jarang digunakan atau tidak diperlukan langsung selepas bayi membesar.

Sebaiknya, senaraikan keperluan mengikut keutamaan.

Dahulukan barangan asas seperti pakaian, lampin, kelengkapan penyusuan dan tempat tidur yang selamat.

4. Rancang bajet keluarga dan kos anak untuk jangka panjang

Selain perbelanjaan harian, ibu bapa perlu mengambil kira kos penjagaan si kecil, pemeriksaan kesihatan, pendidikan dan keperluan lain apabila anak semakin membesar.

Sediakan bajet bulanan yang merangkumi komitmen tetap seperti rumah, kenderaan, bil utiliti, makanan dan keperluan bayi.

Pada masa sama, pertimbangkan untuk menyediakan simpanan khas bagi pendidikan anak supaya wang dapat dikumpulkan sedikit demi sedikit dari awal.

Ibu bapa juga boleh menyemak perlindungan insurans atau takaful yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan keluarga.

Artikel Lain