Adly Zahari (dua, kiri) mengulas keputusan PH pada PRN Melaka. Hadir sama Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli (dua, kanan).
PAKATAN Harapan (PH) menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan terbuka dan menghormati mandat rakyat, meskipun hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi, PH hanya berjaya mempertahankan empat kerusi iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. "PH menerima keputusan ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab demokrasi. Kita percaya setiap keputusan pilihan raya mempunyai dinamik tersendiri dan masih ada ruang untuk kita melakukan penambahbaikan."Terima kasih kepada semua calon, petugas dan sukarelawan PH yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian," katanya.Beliau berkata, PH akan melakukan analisis khusus bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada keputusan berkenaan, termasuk kecenderungan pengundi dalam kalangan generasi muda."Kita akan bawa kepada Majlis Presiden untuk kita teliti hasil daripada keputusan ini," katanya.Mengulas kekalahannya di DUN Bukit Katil, Adly berkata beliau sudah menjangkakannya namun menghormati keputusan pengundi di kawasan berkenaan."Saya hormati keputusan rakyat di Bukit Katil. Saya tidak terkejut kerana dari awal saya tahu kedudukan agak jauh di belakang. Saya cuba mengejar, tetapi tidak sempat," katanya.Adly memperoleh 8,382 undi berdasarkan keputusan semasa setakat pukul 10 malam.Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Ridzuan Sari yang meraih 14,851 undi.Dalam pada itu, Adly mengingatkan semua wakil rakyat yang dipilih supaya melaksanakan amanah dengan berkhidmat kepada seluruh penduduk di kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik.Untuk rekod, PRN Melaka kali ini menyaksikan PH meletakkan calon paling ramai iaitu di 24 kerusi.