SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah selepas memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Pilihan Raya (PRN) Melaka pada Sabtu malam.Berdasarkan keputusan rasmi setakat pukul 9.40 malam, pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata BN memenangi 15 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi dua kerusi dan Perikatan Nasional (PN) satu kerusi. Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kemenangan itu juga membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah."Parti Barisan Nasional (BN) memenangi sejumlah 15 kerusi daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.ARTIKEL BERKAITAN: [TIDAK RASMI] Ahmad Zahid isytihar gelombang biru kekal di Melaka"Oleh itu, BN boleh membentuk kerajaan dengan keputusan majoriti mudah," ujarnya sewaktu sidang media SPR di Menara Persekutuan, Melaka.Tambah Ramlan, keputusan seterusnya akan diumumkan secara berperingkat dari semasa ke semasa.Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa BN memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN Melaka.Ahmad Zahid turut menamakan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka, dengan surat pencalonan akan diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri pada malam ini.