suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ismail Lasim buat ‘U-turn’, kembali sokong Tuanku Muhriz

Ismail Lasim (kiri) bersama Undang Rembau, Datuk Hassan Ab. Hamid, menyambut tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri di Seremban.

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan dia mengutus surat kepada Majlis Raja-Raja bagi menarik balik surat bertarikh 17 September lalu yang mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

"Saya mengesahkan surat itu. Surat itu jelas dengan sendirinya la (The letter is self-explanatory).

"Surat itu juga saya yakin salah satunya (penyelesaian krisis adat dan pentadbiran)," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri di Seremban pada Sabtu.

Dalam surat setebal dua halaman bertarikh 10 November yang dialamatkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ismail berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara bersama kesemua 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Ditanya sama ada tindakan itu merupakan langkah pertama ke arah menyelesaikan kemelut perlembagaan negeri dan adat, Ismail yakin ia mampu menjadi permulaan kepada penyelesaian berkenaan.

Menjawab soalan lain, Ismail berkata dia turut mengutus surat kepada pihak istana bagi memohon menghadap Tuanku Muhriz serta mendapatkan perkenan baginda untuk merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada 26 November ini.

"Kami masih menunggu perkenan Tuanku dan permohonan untuk menghadap baginda sudah dibuat. Tarikh itu (persidangan DUN) adalah tarikh yang kerajaan cadangkan, tetapi masih tertakluk kepada perkenan Tuanku," katanya.

Ismail turut menjelaskan bahawa tarikh pembukaan sidang DUN pada 26 November, pembentangan Belanjawan Negeri pada keesokan harinya serta persidangan selama empat hari bermula 30 November adalah cadangan kerajaan negeri dan masih boleh diubah.

"Sebenarnya daripada segi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, bukanlah tamat pada 27 November itu, tetapi hanya belanjawan ini kita perlu selesaikan sebelum akhir tahun," katanya.

Tuanku Muhriz sebelum ini membatalkan pelantikan 10 Exco atas alasan melanggar sumpah taat setia kepada pemerintah dan institusi diraja.

Terdahulu, kerajaan Negeri Sembilan secara rasmi menarik balik surat yang dihantar kepada Majlis Raja-Raja berhubung institusi diraja negeri itu, sekali gus menegaskan komitmen untuk mempertahankan Perlembagaan Negeri serta adat istiadat.

Surat berkenaan memaklumkan keputusan menarik balik surat terdahulu bertarikh 17 September itu turut mengambil kira kenyataan yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja pada 14 Oktober serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun lalu.

Perintah mahkamah itu mengekalkan status quo berhubung kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam surat berkenaan, Ismail berkata keputusan itu dibuat bagi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, memelihara sistem pemerintahan raja berperlembagaan serta memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dengan aman dan teratur.

Pada 17 September lalu, Ismail mengesahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memperakukan satu pemasyhuran bertarikh 17 April yang ditandatangani seorang Undang dan tiga orang pembesar adat lain yang kedudukan mereka turut menjadi pertikaian, bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri.

Beliau kemudiannya menghantar surat rasmi kepada Majlis Raja-Raja dengan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Go away... saya tak mahu jumpa kamu!” - Tuanku Muhriz murka, enggan terima menghadap Ismail Lasim

ARTIKEL BERKAITAN: Isu takhta Tuanku Muhriz, permohonan semakan kehakiman ditarik balik

Menerusi surat bertarikh 10 November itu, Ismail bersama 10 bekas anggota Exco negeri turut menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kuasa institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

Mereka juga mengambil maklum seruan Majlis Raja-Raja supaya segala perbezaan diselesaikan menerusi saluran yang sah di sisi undang-undang, berwibawa dan boleh dipercayai, selain dilakukan secara berhemah serta berlandaskan adat.

"Kami berpandangan bahawa usaha ke arah penyelesaian perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat," menurut kandungan surat itu.

Surat berkenaan ditandatangani Ismail bersama kesemua 10 bekas anggota Exco negeri.

Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Mengulas mengenai kekosongan jawatan Exco negeri, Ismail berkata dia hanya boleh memberikan penjelasan selepas mendapat perkenan untuk menghadap Tuanku Muhriz.

Ditanya sama ada 10 bekas Exco itu akan menarik balik saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban serta permohonan rujukan perlembagaan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan mereka, Ismail berkata dia tidak mengetahui perkara berkenaan.

"Itu merupakan prosiding mahkamah dan saya tidak tahu mengenainya," katanya.

Tuanku Muhriz sebelum ini membatalkan pelantikan 10 Exco berkenaan berkuat kuasa 20 September 2026 atas alasan mereka melanggar sumpah taat setia kepada pemerintah dan institusi diraja.

Kesemua 10 individu yang mengangkat sumpah pada 7 Ogos lalu berikrar untuk taat setia kepada Tuanku Muhriz, menjunjung kedaulatan Perlembagaan Negeri serta mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Bagaimanapun, tindakan mereka memperakukan pemasyhuran yang didakwa menyingkirkan Tuanku Muhriz dan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu disifatkan sebagai pelanggaran secara langsung terhadap sumpah berkenaan.

Artikel Lain