Ramlan yakin sasaran lebih 70 peratus keluar mengundi mampu dicapai pada PRN Melaka kali ini. -Foto Bernama
KEPUTUSAN rasmi pertama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diketahui selewat-lewatnya pukul 9.30 malam Sabtu, manakala keputusan penuh pula dijangka diumumkan sebelum pukul 12.30 tengah malam.Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, peratusan keluar mengundi setakat pukul 11.30 pagi mencatatkan sebanyak 31.07 peratus. "Saya masih yakin dengan angka 70 hingga ke 75 peratus. Minimum 70 peratus keluar mengundi boleh dicapai pada kali ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, Melaka pada Sabtu.Ramlan berkata, pihaknya menggesa orang ramai supaya keluar mengundi lebih awal berikutan kebimbangan terhadap keadaan cuaca yang diramalkan hujan pada sebelah petang.Menurutnya, proses pengiraan undi akan dijalankan di pusat mengundi seperti biasa sebelum keputusan dihantar ke pusat penjumlahan undi rasmi bagi setiap kawasan.Keputusan berkenaan kemudiannya akan disalurkan ke Wisma Persekutuan di Ayer Keroh."Kita menjangkakan keputusan rasmi pertama dapat diumumkan kepada rakyat selewat-lewatnya pukul 9.30 malam dan keputusan penuh pula sebelum pukul 12.30 tengah malam," katanya.Ramlan turut menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang amat baik.Sebanyak 240 pusat mengundi bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka pada pukul 8 pagi dan dijadualkan ditutup pada pukul 6 petang. -The Star