ANAK perempuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Alor Setol, Langgar, pada Khamis.Menurut Urus Setia Penerangan Darul Aman, mangsa yang berusia 20 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala, selain patah empat jari serta tulang rusuk. Ujarnya, mangsa yang juga anak ketiga Sanusi ditempatkan di ICU bagi membolehkan doktor memantau keadaannya dengan lebih rapi."Masih dirawat di ICU, doktor maklumkan perlu buat pemantauan rapi terlebih dahulu. Esok mungkin boleh tukar ke wad biasa selepas pemeriksaan jika keadaan lebih baik," menurutnya yang memetik kenyataan Sanusi.Susulan kecederaan yang dialami, Sanusi juga berkata anaknya berkemungkinan tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula 23 November ini.ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi meniti fasa indah bercinta selepas kahwin... Isteri pertama pinangkan ibu tunggal kawan mengajiDifahamkan, mangsa merupakan pelajar tahfiz yang mengikuti program pembelajaran fast track bagi menduduki peperiksaan SPM di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), Pokok Sena."Sepatutnya dia akan duduki SPM... nampaknya mungkin dia tak dapat teruskan sebab tangan kanannya cedera," kata Sanusi lagi.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari kolejnya di Pokok Sena menuju ke Alor Setar.Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal ditungganginya terbabas lalu terjunam ke dalam longkang.Orang awam bersama petugas perubatan yang berada di lokasi kemudian memberikan bantuan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan.Keadaan mangsa dilaporkan stabil.Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -The Star