Perubahan OPR boleh mempengaruhi komitmen bulanan peminjam serta keputusan rakyat untuk berbelanja atau menyimpan wang. -Gambar hiasan
RAMAI pernah mendengar istilah Kadar Dasar Semalaman (OPR) namun tidak semua memahami bagaimana perubahan kadar itu boleh memberi kesan kepada kewangan isi rumah dan keadaan ekonomi negara.Secara asasnya, OPR merupakan kadar faedah dasar yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi memastikan kestabilan harga serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara. BNM menerusi perkongsian di YouTube [Tonton Video], menjelaskan kadar berkenaan turut mempengaruhi kadar pinjaman, pembiayaan dan deposit yang ditawarkan institusi perbankan.Ini bermakna, perubahan OPR boleh memberi kesan kepada jumlah bayaran pinjaman berkadar terapung yang perlu ditanggung seseorang, selain pulangan yang diterima menerusi simpanan di institusi kewangan.Bagaimana OPR memberi kesan kepada rakyat?- OPR turun, pinjaman lebih murah: Penurunan OPR lazimnya menyebabkan kadar faedah pinjaman dan pulangan simpanan menjadi lebih rendah.Keadaan ini boleh menggalakkan orang ramai berbelanja berbanding menyimpan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi.- Merangsang pertumbuhan ekonomi: Apabila orang ramai mempunyai lebih banyak ruang untuk berbelanja, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan meningkat.Keadaan ini boleh membantu merangsang perniagaan serta membuka peluang pekerjaan.- OPR terlalu rendah juga boleh memberi kesan: Jika perbelanjaan meningkat melebihi kemampuan ekonomi untuk memenuhi permintaan, tekanan terhadap harga barangan dan perkhidmatan boleh berlaku.- OPR naik untuk mengawal inflasi: Apabila permintaan terlalu tinggi sehingga mendorong kenaikan harga, BNM boleh menaikkan OPR bagi memperlahankan perbelanjaan dan mengurangkan tekanan inflasi.- Kuasa beli rakyat terjejas: Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara berterusan boleh mengurangkan kuasa beli pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.- Perniagaan turut menerima kesan: Kos operasi yang meningkat dan penurunan kuasa beli pengguna boleh menyebabkan perniagaan berdepan jualan lebih rendah serta kerugian.OPR ibarat pedal minyak dan brek keretaBagi memudahkan orang ramai memahami bagaimana OPR ditentukan, BNM menggunakan analogi sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan jalan berbeza.Dalam perumpamaan itu, ekonomi negara diibaratkan sebagai kereta, BNM sebagai pemandu manakala OPR bertindak seperti pedal minyak dan brek.Apabila kereta mendaki bukit, pergerakannya menjadi perlahan dan pemandu perlu menekan pedal minyak untuk menambah kelajuan.Begitu juga apabila ekonomi berdepan cabaran yang memperlahankan pertumbuhan, BNM boleh menurunkan OPR bagi memberikan rangsangan kepada aktiviti ekonomi.Sebaliknya, apabila kereta bergerak terlalu laju ketika menuruni bukit, pemandu perlu melepaskan pedal minyak dan menekan brek untuk memperlahankannya.Situasi itu sama seperti BNM menaikkan OPR apabila aktiviti ekonomi berkembang terlalu pesat sehingga boleh mencetuskan tekanan kenaikan harga.Bagaimana keputusan OPR dibuat?Penetapan OPR bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya memerlukan pemantauan dan penilaian berterusan terhadap keadaan ekonomi semasa.Malah, MPC BNM bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun bagi meneliti perkembangan ekonomi dan prospek inflasi sebelum membuat keputusan mengenai kadar berkenaan.Keputusan yang dicapai kemudiannya diumumkan menerusi pernyataan dasar monetari.Matlamat utamanya adalah untuk memastikan kenaikan harga kekal rendah dan stabil, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.Apabila inflasi terkawal, rakyat Malaysia dapat mempunyai keyakinan lebih tinggi terhadap nilai wang mereka.Malah, keadaan itu turut membantu isi rumah dan perniagaan merancang kewangan dengan lebih baik, termasuk menentukan jumlah perbelanjaan, simpanan dan pelaburan.