Suasana ‘perang bendera’ di Jalan Tamby Abdullah menjelang PRN Melaka pada 14 November. - Foto LEONG WAI YEE/The Star
JIKA bercerita mengenai pilihan raya di Malaysia, kita pasti biasa mendengar kisah sekelompok pengundi terutamanya warga emas, yang tidak pernah 'pindah parti' sejak zaman muda.Dalam kajian politik, kelompok ini dipanggil sebagai pengundi tradisi atau pengundi totok. Istilah ini merujuk kepada golongan yang mempunyai kesetiaan luar biasa terhadap sesuatu parti, bermakna mereka hanya akan 'memangkah' lambang yang sama dari zaman muda sehinggalah ke tua.Namun persoalannya, apakah yang menyebabkan mereka terus kekal menyokong parti yang sama meskipun pelbagai perubahan drastik telah berlaku dalam landskap politik di Malaysia?Menurut pakar psikologi sosial dari Universiti New York (NYU), Profesor Jonathan Haidt, pandangan dunia dan haluan politik seseorang sebenarnya mula terbentuk dan diacu ketika mereka berada dalam lingkungan usia 16 hingga 24 tahun.Dalam tempoh usia formatif itu, sebarang krisis ekonomi atau isu sosial yang berlaku di sekeliling mereka akan mencorak cara pemikiran secara mendalam, dan pandangan itulah yang akan kekal dibawa sehingga ke tua.Apa yang lebih menarik, sebaik sahaja seseorang melepasi usia 25 tahun, personaliti dan cara berfikir mereka secara biologi dan psikologinya sudah mula stabil dan 'set'.Kesannya, mereka menjadi lebih sukar untuk mengubah pendirian asas yang dibina sepanjang tempoh sembilan tahun yang kritikal itu.Bukti kenyataan ini boleh dilihat dengan jelas di dalam landskap politik Malaysia, terutamanya bagaimana peristiwa-peristiwa besar negara telah membina pemahaman dan pendirian berbeza mengikut tiga generasi.Kesetiaan terhadap sesuatu parti sering kali dikaitkan dengan generasi baby boomers. -Gambar hiasanVeteran atau baby boomersKelompok veteran atau baby boomers meniti usia 16 hingga 24 tahun ketika era di mana Malaysia baru sahaja menikmati kemerdekaan sekitar tahun 1970-an.Mereka membesar dalam rancaknya usaha kerajaan bagi merealisasikan pembinaan negara bangsa. Pada waktu itu, kestabilan kaum dan pembangunan ekonomi adalah perkara paling utama bagi mereka.Disebabkan itu, corak pemikiran generasi ini dilihat sangat setia dengan parti komponen tradisional seperti Barisan Nasional (BN).Millenials Bagi generasi millennials pula, mereka berada dalam tingkap usia formatif tersebut sekitar akhir 1990-an hingga 2000-an.Zaman muda mereka dicorakkan oleh keperitan krisis kewangan 1997, kehangatan era Reformasi 1998, dan gelombang 'Tsunami Politik' Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008. Peristiwa-peristiwa ini membentuk acuan minda millennials menjadi generasi yang lebih kritikal terhadap ketelusan kerajaan, memperjuangkan reformasi institusi, dan mula beralih kepada politik berpaksikan isu secara moderat.Gen-zYang terakhir, kelompok Gen Z pula melalui fasa umur 16 hingga 24 tahun mereka dengan situasi paling dinamik dalam sejarah politik negara, iaitu kejatuhan kerajaan BN buat pertama kali pada PRU14 (2018) dan ujian pandemik Covid-19. Berdasarkan data tinjauan global daripada Pew Research Center, fasa tidak menentu ini digabungkan pula dengan pengaruh budaya internet menjadikan Gen Z kelompok yang paling cepat terpolarisasi kepada pandangan yang ekstrem mengikut pengaruh jantina dan budaya Internet.Kesannya, arah pandangan politik golongan ini akan menjadi terlalu vokal menuntut perubahan atau beralih sepenuhnya ke arah pendirian lebih konservatif.