suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pengarah akur respons positif di media sosial tidak jamin Baga laris di pawagam

Tayangan Baga: Esok Untuk Siapa di pawagam didakwa semakin berkurangan.

PENGARAH filem Baga: Esok Untuk Siapa, Ariff Zulkarnain mengakui reaksi positif penonton di media sosial belum mampu diterjemahkan kepada kutipan tiket seperti yang diharapkan.

Ariff berkata, meskipun naskhah tersebut menerima maklum balas baik, realiti sambutan di pawagam masih belum setanding filem lain yang lebih mendapat perhatian penonton.

Menurutnya, dia memahami Baga mungkin bukan pilihan utama penonton yang lebih cenderung memilih filem bergenre komedi atau aksi di pawagam.

Ariff (kanan) berharap penonton terus menyokong Baga di pawagam.

"Baga ini seperti filem masyarakat, lebih kepada filem rakyat. Naskhah-naskhah ini kesudahannya bila masuk di platform OTT barulah orang nampak, orang puji.

"Saya tak juga cakap orang tak menyokong kami, sebab ada saja yang sudah tonton sampai lima kali," katanya ketika dihubungi mStar. 

Dalam pada itu, Ariff tidak menafikan filem seperti Baga berdepan cabaran apabila slot tayangan semakin berkurangan, malah terdapat pawagam yang menawarkan waktu tayangan seawal pukul 8 pagi.

Kongsinya, situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada peluang filem berkenaan menarik kehadiran penonton, terutama apabila waktu tayangan pilihan ramai didominasi naskhah yang sedang mendapat sambutan hangat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ariff Zulkarnain tunggu dua tahun lulus LPF, filem ‘Baga‘ bukan rai gejala dadah

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Ahnaf trauma jadi penagih dadah dalam Baga, takut duduk sendiri hingga ajak adik-beradik teman selepas penggambaran

"Ada saya dengar orang beritahu showtime di Ipoh pukul 8 pagi. Shopping mall pun belum buka lagi.

"Siapa nak tengok filem pukul 8 pagi. Waktu-waktu puncak seperti 2 petang, 5 petang, 8 malam semua didominasi oleh filem-filem yang sedang hype.

"Sedikit sebanyak ia menganggu juga filem Baga tetapi sesiapa yang masih menonton dengan waktu tayangan seperti itu saya memang hargai sangat," ujarnya. 

Mengulas lanjut, Ariff memberitahu dia menerima keadaan tersebut dengan hati terbuka memandangkan Baga tergolong dalam kategori filem alternatif yang mempunyai kelompok penonton tersendiri.

Ada saya dengar orang beritahu showtime di Ipoh pukul 8 pagi. Shopping mall pun belum buka lagi.

ARIFF ZULKARNAIN

PENGARAH

Jelasnya, cabaran mendapatkan kutipan memberangsangkan turut menyukarkan perancangan untuk menghasilkan lebih banyak filem dengan pendekatan serupa kerana ia membabitkan pelaburan besar.

"Saya berlapang dada saja kerana saya faham filem seperti Baga ini dalam kategori filem-filem alternatif, macam saya cakap orang suka tetapi masih tak cukup untuk dapat kutipan tinggi.

"Saya berharap ada gelombang kedua untuk orang mula menerima filem Baga ini. Malah, saya berharap penonton terus memberikan sokongan terhadap filem-filem lokal yang lain," katanya.

Filem Baga menjalani penggambaran di Terengganu.

Sebelum ini, Ariff menerusi hantaran di Threads berkongsi mengenai slot tayangan Baga yang semakin berkurangan dan diberikan waktu kurang strategik.

Jelasnya, situasi itu merupakan realiti yang perlu dihadapi sesebuah filem apabila kurang mendapat sambutan apabila pihak pawagam akan memberikan lebih banyak slot kepada naskhah yang mempunyai permintaan tinggi.

Filem terbitan Indigo Films itu menampilkan gandingan Amir Ahnaf dan Amirah Razak sebagai teraju utama buat pertama kali.

Menjalani penggambaran di Terengganu, Baga: Esok Untuk Siapa mengisahkan Jani dan Melur, sepasang kekasih muda yang terperangkap antara realiti kehidupan dengan impian untuk mengubah nasib mereka.

Artikel Lain