suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ariff Zulkarnain tunggu dua tahun lulus LPF, filem ‘Baga‘ bukan rai gejala dadah

Pengarah filem Baga, Ariff merayu empat kali di LPF untuk dapat kelulusan tayangan.

PENGARAH filem Baga: Esok Untuk Siapa, Ariff Zulkarnain terpaksa menunggu selama dua tahun sebelum karya sulungnya itu mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk ditayangkan di pawagam pada 5 November nanti.

Ariff berkata, pada peringkat awal, sebanyak 16 babak diarahkan untuk dipotong kerana didakwa memaparkan adegan penyalahgunaan dadah secara keterlaluan.

Bagaimanapun, tidak mahu berputus asa, pihak produksi mengambil inisiatif menyusun semula jalan cerita dan mengolah babak yang dipersoalkan tanpa menjejaskan mesej asal filem berkenaan.

Penantian berakhir... Filem sulung Ariff iaitu Baga: Esok Untuk Siapa akan ditayangkan 5 November depan.

“Pada peringkat awal, terdapat 16 babak yang diminta untuk dipotong atas faktor penapisan.

“Kami tidak mahu mengalah, sebaliknya cuba menyusun semula jalan cerita dan mengolah babak yang dipersoalkan supaya mesej asal filem tidak terjejas.

“Proses itu mengambil masa kira-kira setahun kerana kami perlu berulang-alik berurusan dengan LPF,” katanya.

Menurut Ariff, pihak produksi turut mengemukakan beberapa rayuan bagi mempertahankan babak yang dianggap penting dalam menghidupkan penceritaan sehingga jumlah adegan yang perlu dipotong semakin berkurangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ariff Zulkarnain percaya sentimen industri punca drama TV klise

ARTIKEL BERKAITAN: Beto Kusyairy anggap Good Boys Go To Heaven raih kejayaan mutlak

“Sehinggalah pada percubaan keempat, jumlah babak yang perlu dipotong semakin berkurangan daripada 16 kepada lapan, kemudian enam dan akhirnya tinggal tiga babak.

“Pada peringkat terakhir, saya bersama penerbit, Syafiq Yusof dan Syafiq Kyle bertemu sendiri dengan Pengerusi LPF untuk membuat rayuan.

“Akhirnya, filem ini diluluskan dengan syarat kami perlu meletakkan penafian bahawa karya tersebut tidak bertujuan mengagungkan penyalahgunaan dadah,” kongsinya.

Ariff yang sebelum ini dikenali menerusi siri popular One Cent Thief dan Good Boys Go To Heaven itu berkata, antara alasan dikemukakan LPF adalah beberapa adegan yang dianggap terlalu jelas dan realistik sehingga dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam.

Bagaimanapun, dia menjelaskan pendekatan realisme sosial yang digunakan dalam filem tersebut bertujuan membuatkan penonton merasai sendiri keresahan berdepan situasi berkenaan.

Filem 'Baga: Esok Untuk Siapa' menampilkan Amir Ahnaf dan Amirah Razak.

“Sebagai pembikin filem, sudah tentu saya mahu menghasilkan sesuatu yang kelihatan realistik.

“Tambahan pula, karya ini menggunakan pendekatan realisme sosial. Jadi, saya mahu penonton merasai kegelisahan dan ketidakselesaan apabila melihat situasi tersebut.

“Bagaimanapun, kami menghormati keputusan LPF dan sudah menerima perkara itu dengan hati terbuka,” kongsinya.

Jelasnya, filem berkenaan akhirnya mendapat kelulusan dengan klasifikasi 16, iaitu khusus untuk penonton berusia 16 tahun ke atas.

Dalam pada itu, Ariff menegaskan Baga: Esok Untuk Siapa bukan dihasilkan untuk mempromosikan atau mengagungkan penyalahgunaan dadah, sebaliknya mahu membuka mata masyarakat dengan mengetengahkan kisah daripada sudut pandang individu yang terjebak dengan gejala berkenaan.

“Sebenarnya, sejak awal lagi kami tidak pernah berniat untuk terlalu mengangkat mengenai dadah.

“Bagi saya, kalau babak penyalahgunaan dadah dipaparkan terlalu lembut atau tersirat, penonton mungkin tidak dapat merasai kesan sebenar daripada cerita itu.

“Saya mahu penonton berasa tidak selesa apabila menyaksikan babak tertentu. Kalau kita sendiri berasa gelisah melihat perkara itu di layar, bayangkan apabila ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita,” ujarnya.

Filem terbitan Indigo Films itu menampilkan gandingan Amir Ahnaf dan Amirah Razak buat pertama kali sebagai teraju utama.

Naskhah bergenre jenayah dan drama itu turut dibintangi Wan Hanafi Su, Cehc Adrea, Kimal Mokhtar, Idham Maulana dan Mat Over.

Artikel Lain