KISAH cinta sepasang kekasih berakhir selepas mereka ditahan polis kerana disyaki berkomplot mencuri motosikal.Lebih mengejutkan, suspek perempuan dalam kes berkenaan baru berusia 15 tahun, manakala teman lelakinya berusia 25 tahun. Kes itu terbongkar susulan laporan seorang lelaki yang kehilangan motosikal jenis Honda Scoopy.Motosikal berkenaan dilaporkan hilang ketika diletakkan di tepi dengan keadaan hendal tidak berkunci.Kejadian dilaporkan berlaku di Bali, Indonesia pada Rabu lalu.Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Kota Denpasar, Iptu I Gede Adi Saputra Jaya berkata, pasangan itu ditahan ketika bersembunyi di sebuah hotel di Jalan Nangka, Denpasar.Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap."Modus operandi suspek adalah menyasarkan motosikal yang diletakkan di tepi jalan dan tidak dikunci pada bahagian hendal," katanya.Bertindak atas laporan itu, pasukan penyiasat Polsek Denpasar Timur menjalankan siasatan sebelum berjaya mengenal pasti dan menahan kedua-dua suspek.Siasatan lanjut mendapati pasangan itu dipercayai terbabit dalam tiga kejadian curi motosikal di lokasi berbeza.Dua kejadian dilaporkan berlaku di kawasan parkir Tukad Bindu, Jalan Turi, manakala satu lagi di Jalan Noja, Kesiman.Lebih mengejutkan, mereka dipercayai menggunakan motosikal Honda Scoopy yang dicuri dalam kejadian terdahulu sebagai kenderaan untuk melakukan kegiatan sama.Menceritakan taktik pasangan itu, suspek lelaki bertindak sebagai individu yang mengambil motosikal sasaran sebelum menolaknya hingga ke jalan utama."Suspek perempuan bertugas menunggang motosikal curi, manakala suspek lelaki menolaknya dari belakang (towing)," katanya.Selepas berjaya membawa motosikal berkenaan ke lokasi selamat, pasangan itu dipercayai mendapatkan khidmat tukang kunci untuk menghasilkan kunci pendua bagi mengendalikan motosikal curi berkenaan.Kos menghasilkan kunci itu dilaporkan mencecah Rp50,000 (kira-kira RM13) bagi setiap motosikal.Kes berkenaan kini dalam siasatan pihak polis bagi tindakan lanjut. -Agensi