suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tergamak pukul teman wanita 514 kali sampai maut, lelaki beri alasan tak sengaja... Dakwa mangsa langgar peraturan bercinta!

Hukuman berat menanti suspek jika didapati bersalah. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 24 tahun didakwa memukul teman wanitanya sebanyak 514 kali dalam tempoh tiga jam 20 minit sehingga wanita itu meninggal dunia.

Lebih tidak masuk akal, lelaki berkenaan mendakwa kejadian itu tidak disengajakan dan dia tiada niat untuk membunuh teman wanitanya yang berusia 28 tahun.

Kes yang dikenali sebagai pembunuhan kejam Gangseo itu kembali mendapat perhatian selepas dibongkar menerusi rancangan penyiasatan SBS, Unanswered Questions, pada 24 Oktober lalu.

Pada 20 Jun lalu, kira-kira pukul 2.20 petang, lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Jeon menghubungi pihak kecemasan selepas mendakwa teman wanitanya tidak sedarkan diri.

Ketika pasukan paramedik tiba di kediaman pasangan itu yang terletak di sebuah pangsapuri separa bawah tanah di Korea Selatan, mangsa yang menggunakan nama samaran Im Jan Di didapati mengalami serangan jantung dan berada dalam keadaan kritikal.

Jeon kemudian mengakui kepada polis bahawa dia telah memukul mangsa menggunakan tukul getah beberapa kali.

Menurut laporan SBS News, lelaki itu mendakwa tindakannya berpunca daripada kemarahannya selepas mangsa didakwa berbohong kepadanya.

Hasil bedah siasat mendedahkan fakta mengerikan apabila mangsa ditemui mengalami 21 tulang rusuk patah selain kerosakan parah pada beberapa organ dalaman yang pecah.

Malah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka membuktikan aksi ganas itu berlarutan selama tiga jam 20 minit, yang mana pakar forensik menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai satu bentuk penyeksaan yang melampau.

Siasatan oleh pasukan penerbitan rancangan itu turut menemukan beberapa perkara mencurigakan dalam telefon bimbit mangsa, termasuk satu projek yang dibangunkan bersama Jeon.

Pasangan berkenaan menggunakan istilah gukpeu, singkatan bagi gukga peurojekteu yang bermaksud projek negara, untuk merujuk kepada sebuah negara fiksyen ciptaan mereka bernama Kerajaan Dduri.

Mereka dikatakan mewujudkan beberapa peraturan kononnya bagi mengelakkan pertengkaran dalam hubungan.

Antara peraturan itu termasuk seseorang yang berbohong tidak lagi berhak menerima layanan berperikemanusiaan, manakala individu yang dikenakan hukuman tidak dibenarkan merayu atau memberikan penjelasan selepas hukuman bermula.

Menurut laporan The Korea Herald, peraturan berkenaan turut menyatakan hukuman yang dikenakan akan melebihi apa-apa yang mampu dibayangkan.

Telefon bimbit mangsa turut mengandungi rekod penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu menyediakan jawapan kepada soalan-soalan berbentuk teka-teki yang diajukan Jeon.

Menurut SBS News, rakan sekerja Im menyifatkannya sebagai seorang yang baik dan rajin, namun menyedari perubahan ketara pada tingkah lakunya kira-kira setahun sebelum kejadian.

Mangsa dilaporkan sering menjawab panggilan telefon di tangga kecemasan selain hadir bekerja dengan kesan lebam pada wajah atau berjalan dalam keadaan tempang.

Bagaimanapun, wanita itu tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa. -Agensi

Artikel Lain