suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Terkilan dituduh goyang kaki, disuruh cari kerja lain... Doktor hospital kerajaan jawab rungutan pesakit kena ‘sidai’ 5 jam

Tular satu hantaran di media sosial selepas seorang pesakit mendakwa terpaksa perlu menunggu selama 5 jam sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth. -Threads

TINDAKAN seorang pesakit yang meluahkan kemarahan akibat terpaksa menunggu sehingga lima jam di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth, Sabah mendapat perhatian seorang pegawai perubatan di hospital berkenaan.

Ia susulan hantaran pengadu di Threads yang mempertikaikan kualiti perkhidmatan hospital kerajaan ketika kunjungannya pada 21 Oktober lalu sehingga membiarkan warga emas menunggu lama dan tertidur menjadi tular di media sosial.

Tampil memberikan penjelasan, Dr Grace Ak Ason yang bertugas di bilik konsultasi Zon Hijau pada hari kejadian meluahkan rasa terkilan apabila usaha keras petugas kesihatan kerap dibalas dengan herdikan, kata-kata kesat serta tuduhan melulu daripada segelintir pesakit.

Krisis kekurangan doktor di Sabah dilapor semakin meruncing sehingga menjejaskan tahap perkhidmatan kesihatan di negeri tersebut. -Gambar hiasan AI

Lebih menyedihkan, mereka bukan sahaja dituduh bekerja secara tidak ikhlas, malah turut disuruh meletakkan jawatan sekiranya tidak tahan dengan bebanan tugas.

"Antara kata-kata yang dilemparkan adalah... buat kerja tak ikhlas, siapa suruh jadi doktor, sendiri yang pilih jadi doktor, hadap saja la dan kalau tahu jadi doktor tu penat, resign saja la!

"Kami adalah manusia yang mempunyai perasaan. Kami adalah anak, pasangan dan ibu bapa kepada seseorang juga. Kami ambil berat dan kami faham. Tidak perlu bersikap kasar atau menjerit dan memaki hamun," luahnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menjawab dakwaan pengadu yang mempersoalkan kualiti perkhidmatan hospital kerajaan sehingga membiarkan warga emas menunggu lama dan tertidur, Dr Grace menjelaskan kelewatan itu bukan disengajakan, sebaliknya berpunca daripada krisis kekurangan doktor yang sangat meruncing di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Seharian tak sempat makan, sedar-sedar lauk dah basi... Doktor sedang ‘oncall’ hanya mampu menangis pukul 3 pagi

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kerja non-stop sampai pengsan, jatuh sakit! Tular nota hospital minta maaf, pesakit mungkin kena tunggu 5 jam

"Kita kekurangan doktor. Ya, sangat kurang. Lagi-lagi di Sabah ni, tiada orang mahu lapor diri ke sini. Yang sedia ada pun sudah pindah semula ke kampung halaman di semenanjung. 

"Jadi tinggal la kami yang memang anak-anak Sabah, kekal dan terus menetap di sini," jelasnya.

Tambah Dr Grace, ketika memulakan tugas pada pukul 3 petang hari berkenaan, dia hanya ditemani seorang doktor pelatih di Zon Konsultasi Hijau untuk mengendalikan jumlah kes tertunggak yang luar biasa sejak pukul 12 tengah hari.

"Disebabkan zon kami masih dikira stabil, jadi kami ada tanggungjawab tambahan. Selain menjaga bilik konsultasi, kami juga perlu mengendalikan panggilan ambulans serta mengiringi pesakit.

"Kalau tengah bercakap dengan pesakit tiba-tiba ada panggilan untuk iring pesakit, contohnya pesakit kritikal yang perlu doktor teman hantar ke wad atau pergi imbasan, maka kami terpaksa tinggalkan bilik lagi. 

"Jadi berapa ramai doktor yang tinggal di dalam bilik? Makin berkurang. Tapi jumlah pesakit pula? Makin bertambah," jelasnya.

Mengulas tanggapan negatif pesakit yang mendakwa doktor 'berehat' atau 'goyang kaki' hanya kerana melihat bilik konsultasi kosong, Dr Grace memaklumkan waktu tersebut sebenarnya digunakan sepenuhnya untuk meneliti keputusan ujian darah, imbasan X-ray serta membuat rujukan kepada doktor pakar.

"Jadi ya, kalau kadang-kadang kamu nampak bilik kosong, tiada pesakit pun tapi lambat panggil pesakit seterusnya, ketahuilah bahawa kami mungkin masih menyelesaikan kes-kes sebelum kamu.

"Mungkin kamu nampak kami duduk di atas kerusi 'goyang kaki', tetapi di dalam fikiran kami adalah kamu dan pesakit-pesakit lain. 

"Kadang-kadang saya tidak sempat pun membalas mesej keluarga saya sendiri sebab kamu perlukan penjagaan saya," katanya lagi.

  • Dr Grace terkilan apabila usaha keras petugas kesihatan dibalas dengan makian segelintir pesakit.
  • Isu ini tular selepas seorang individu mengadu terpaksa menunggu lima jam di hospital Sabah.
  • Kelewatan berpunca daripada krisis kekurangan doktor yang sangat meruncing di negeri tersebut.
  • Doktor di Zon Hijau memikul tanggungjawab tambahan yang berat termasuk mengiringi pesakit kritikal.
  • Dr Grace memilih kekal di hospital kerajaan demi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Biarpun mengakui sudah penat berdepan persepsi negatif masyarakat, Dr Grace menegaskan dia memilih terus bersabar dan kekal berkhidmat di hospital kerajaan kerana memikirkan nasib golongan kurang berkemampuan.

"Kalau semua orang resign, siapa yang mahu stay? Terutamanya kekal di hospital kerajaan. Buat kerja tak ikhlas? Tak ingat keluarga? Disebabkan saya ingat dan fikir pasal keluarga la saya kekal. Saya pun bukan orang mampu sangat. 

"Rawatan perubatan bukannya murah. Keluarga saya pun pergi ke hospital kerajaan. Memang penat. Memang terasa hati. Tapi saya tahan. Sebab mengenangkan orang yang memang tak mampu pergi ke swasta, hospital kerajaan pilihan mereka. 

"Siapa akan jaga mereka kalau semua mahu resign? Bukan mahu menagih simpati, hanya mahu membuka mata. Daripada bergaduh sesama sendiri, bantu kami supaya perkara ini sampai kepada pihak atasan. Buat mereka lakukan sesuatu," ujarnya.

Artikel Lain