Mohd Nazri didakwa merempuh motosikal Muhammad Zaharif Affendi dengan keretanya, sehingga menyebabkan kematian pelajar Tingkatan Lima itu.
PEGAWAI kanan polis, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas pertuduhan membunuh pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, dipinda kepada menyebabkan kematian tanpa niat di Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu.Mohd Nazri, 47, turut diperintah membayar pampasan RM50,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh sebaik pertuduhan pindaan dibacakan pada akhir kes pendakwaan. Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara terbabit bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Disember 2023.ARTIKEL BERKAITAN: Kes pegawai polis langgar pelajar: Jantung mangsa berhenti 15 minit sebelum CPR - SaksiTerdahulu, Datuk Bhupindar Singh meminda pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, kepada Seksyen 304(b) kanun sama.Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.Pada 18 Disember 2023, Mohd Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, dengan mengetahui perbuatannya berkemungkinan menyebabkan kematian mangsa.Perbuatan itu didakwa berlaku di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dalam daerah Kinta, antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.mStar pada 15 Disember 2023 melaporkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut di tempat kejadian selepas badannya diseret sejauh lima meter oleh kereta Perodua Ativa yang melanggarnya dari belakang.