Kira-kira 70,000 jemaah umrah dari Indonesia menggunakan penerbangan transit melalui Malaysia dan Singapura. -Foto The Jakarta Post/ANN
INDONESIA menggesa jemaah umrah dari negara itu supaya mengutamakan penerbangan terus ke Arab Saudi berbanding penerbangan transit melalui Malaysia dan Singapura atas faktor keselamatan serta usaha memperkukuh industri penerbangan domestik.Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata langkah itu turut mengambil kira risiko susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, meskipun urusan ibadah umrah di Arab Saudi setakat ini tidak terjejas. "Kita sudah mengadakan pertemuan dengan persatuan jemaah serta pengendali perjalanan umrah atau Penyelenggara Perjalanan Ibadah Umrah (PPIU) bagi menyampaikan saranan berkenaan kepada syarikat pelancongan."Kita meminta persatuan terbabit supaya buat masa ini tidak memilih penerbangan transit melalui Malaysia atau Singapura."Penerbangan terus ke Jeddah atau Madinah lebih selamat. Oleh itu, kami mengesyorkan pilihan tersebut," katanya.Dahnil berkata, kira-kira 70,000 jemaah umrah Indonesia menggunakan laluan transit melalui Malaysia dan Singapura, sekali gus mewujudkan potensi permintaan yang boleh dimanfaatkan syarikat penerbangan negara itu.ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu makin teruk! Indonesia hantar bas oksigen percuma bantu penduduk alami masalah pernafasan"Jika lebih ramai jemaah beralih kepada penerbangan yang dikendalikan syarikat penerbangan Indonesia, langkah berkenaan bukan sahaja dapat menyokong industri penerbangan tempatan, malah membantu merancakkan ekonomi negara."Kita perlu menyokong dua syarikat penerbangan nasional, iaitu Lion Air dan Garuda Indonesia," katanya lagi.Bagaimanapun, Dahnil menegaskan syarikat penerbangan tempatan juga perlu meningkatkan mutu perkhidmatan serta menawarkan tambang yang kompetitif bagi menarik lebih ramai penumpang dan mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran antarabangsa.Bagi menangani isu berkaitan perkhidmatan, kementerian berkenaan turut mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan Garuda Indonesia, Lion Air dan pengendali lapangan terbang Angkasa Pura.Perbincangan itu memberi tumpuan kepada perkhidmatan penerbangan umrah, termasuk penambahbaikan kemudahan di terminal haji dan umrah.Dahnil turut meminta agar perkhidmatan di Terminal 2, yang mengendalikan penerbangan haji dan umrah, dipertingkatkan supaya perjalanan jemaah menjadi lebih selesa dan teratur.Dahnil menambah, penekanan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, terhadap kedaulatan ekonomi negara perlu turut merangkumi sektor perkhidmatan haji dan umrah.Justeru, penggunaan lebih banyak penerbangan terus yang dikendalikan syarikat penerbangan Indonesia dilihat dapat memenuhi dua matlamat utama, iaitu meningkatkan keselamatan perjalanan jemaah dan menyokong ekonomi negara."Presiden Prabowo mahukan kedaulatan ekonomi, dan perkara ini juga perlu diterapkan dalam urusan umrah dan haji," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, hubungan diplomatik Indonesia dan Singapura turut menjadi perhatian susulan pertikaian mengenai bekalan gas serta isu jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah.Krisis jerebu itu menyebabkan asap merebak ke negara jiran, termasuk Singapura dan Malaysia.Pada Isnin, 26 Oktober, Menteri Penyelaras Hiliran dan Peralihan Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia mempertahankan keputusan Jakarta untuk menghentikan eksport gas ke Singapura.Bahlil menegaskan keputusan berkenaan masih dalam lingkungan terma kontrak dan dibuat selaras dengan arahan Presiden Prabowo supaya Indonesia memenuhi obligasinya. -Agensi