Imej sinar-X menunjukkan objek memanjang yang dipercayai wayar panduan perubatan tertinggal dalam tubuh Ediyanto.
SEORANG pesakit berdepan komplikasi bahaya selepas sebatang wayar panduan perubatan sepanjang 21 sentimeter (cm) didakwa tertinggal di dalam salur darah serta otot jantungnya, akibat kecuaian prosedur pemasangan stent.Ekoran dakwaan kes berprofil tinggi itu, pihak polis tidak menolak kemungkinan akan merakam keterangan tenaga perubatan di sebuah hospital di Singapura bagi membantu siasatan lanjut. Menurut laporan sebuah portal tempatan pada Isnin, Ketua Polis Bandar Samarinda, Rahmat, berkata setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan daripada tujuh orang saksi.Pihaknya juga akan memanggil semula doktor pakar jantung yang merawat mangsa dikenali sebagai Ediyanto Wongso yang merupakan warga Indonesia untuk pemeriksaan lanjut minggu depan.Tujuh saksi yang dipanggil sebelum ini merangkumi bekas pengarah hospital berkenaan, jururawat, serta barisan tenaga perubatan yang menguruskan rawatan mangsa.Sebelum ini, doktor pakar terbabit hanya sempat dipanggil sekali pada 14 Oktober lalu untuk memberikan penjelasan awal berhubung insiden berkenaan.Mengulas lanjut, Rahmat menjelaskan sebarang proses merakam keterangan tenaga perubatan di Singapura memerlukan penyelarasan rapi bersama Polis Wilayah Kalimantan Timur sebelum dirujuk secara rasmi kepada Ibu Pejabat Polis Indonesia.Terdahulu, keluarga Ediyanto membuat laporan polis pada 7 Oktober lalu berhubung dakwaan kecuaian perubatan ketika prosedur pemasangan stent di hospital umum berkenaan.Laporan itu dibuat selepas usaha menyelesaikan perkara berkenaan menerusi sesi pendengaran di Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Kalimantan Timur dan mediasi gagal mencapai penyelesaian.Siasatan masih diteruskan bagi meneliti dakwaan berkenaan. -Agensi