VOKALIS kumpulan Teacher’s Pet, Maman kembali bertemu jodoh apabila selamat disatukan dengan pengurusnya iaitu Wahayu Wahab pada 17 September lalu. Tidak menyangka akan kembali berkahwin, Maman atau Rosman Lamri, 57, hanya bersyukur kerana Allah menghadirkan seorang wanita buatnya selepas kematian isteri iaitu Allahyarham Faizah Mohamed Amin yang meninggal dunia pada September 2024. "Ini kuasa Allah. Setahun saya tak keluar rumah (lepas isteri meninggal dunia). Kita kena lalu juga kehidupan ini. Maman berkongsi perkara itu ketika ditemui media. "Alhamdulillah selepas tahajud dan berdoa, Allah hantar isteri untuk saya," katanya. Maman ditemui ketika sidang media Showcase Teacher’s Pet - Back To School yang berlangsung di Kepong, Selangor pada Isnin. Berkongsi detik perkenalan mereka, Maman berkata segalanya bermula selepas dia memuat naik status di media sosial bertanyakan orang ramai mengenai rawatan buat kucingnya. ARTIKEL BERKAITAN: Maman dan Teacher's Pet tak pernah berpecah, perjelas punca menyepi dalam ‘Aku’ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri mohon maaf silap bacaan surah, tak jangka siaran langsung solat jadi tularWahayu yang juga kebetulan peminat kucing mengirim mesej untuk Maman menghubungi pihak tertentu bagi mendapatkan bantuan. "Ketika itu kucing saya patah kaki dan kos rawatan agak mahal. Saya tanya di media sosial pendapat ramai. "Ayu hantar mesej kepada saya dan dia berikan nombor telefon pihak lain untuk dihubungi. Selepas itu saya ajak dia berjumpa," jelasnya. Maman bagaimanapun lebih selesa untuk tidak mendedahkan secara terperinci peribadi isteri yang juga kini menjadi pengurusnya itu. Maman tidak mahu mendedahkan isterinya kepada umum. Selepas berkenalan pada Julai 2025, Wahayu bertindak sebagai pengurus yang membantu perjalanan kerjaya Maman dan Teacher’s Pet di Malaysia. Penyanyi asal Singapura ini juga menganggap pertemuan dengan Wahayu sebagai satu ketentuan terbaik yang telah diaturkan buatnya. "Jodoh ini jangan cerewet. Apa Allah dah atur, ambil sahaja," luahnya. Maman sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan wanita asal Singapura namun jodoh mereka tidak berpanjangan. Dia kemudiannya berkahwin kali kedua pada tahun 2019, bagaimanapun isterinya Allahyarham Faizah meninggal dunia akibat kanser ovari.