BAHAGIAN 1TAHUN 2026 kian meniti ke penghujungnya. Sehingga kini, masih belum ada filem tempatan yang berjaya meraih kutipan melepasi RM50 juta seperti tahun-tahun lepas. Prestasi filem pada tahun ini secara amnya kurang memberangsangkan di pawagam.44 buah filem menerusi Skim Wajib Tayang sudah menjengah pawagam pada tahun ini. Malangnya, setakat Oktober, filem terlaris 2026 ialah Tarung: Unforgiven (terbitan Alpha 47 Films) yang ditayangkan pada 7 Mei lalu dengan kutipan RM23.59 juta.Angka itu jauh lebih rendah berbanding kutipan filem tertinggi 2025 iaitu Blood Brothers: Bara Naga (RM73.64 juta), Sheriff (RM59.45 juta, 2024), Polis Evo (RM50.11 juta, 2023) dan Mat Kilau (RM89.42 juta, 2022).Yusof melihat perkembangan positif dalam penghasilan kualiti filem. Penonton kurang beli tiket wayang - Yusof HaslamMelihat situasi ini, penerbit pecah panggung Datuk Yusof Haslam berpendapat sambutan penonton terhadap sesebuah karya adalah sesuatu yang subjektif dan sukar untuk dijangka.Sebagai seorang yang berpengalaman, Yusof, 72, juga tidak menolak isu semasa yang berlaku menjadi faktor penentu penonton kurang berbelanja untuk membeli tiket di pawagam.Katanya, masalah yang dihadapi bukan sekadar memberi kesan kepada karya tempatan, malah filem luar yang ditayangkan di Malaysia juga tidak mendapat sambutan baik."Tahun ini pembukaannya agak kurang sedikit. Tiada filem yang mencapai kutipan sehingga RM30 juta. Bukan filem Malaysia, filem luar juga sama kecuali Spider-Man: Brand New Day yang mencapai kutipan RM80 juta."Mungkin disebabkan keadaan jerebu, isu peperangan di Timur Tengah sehingga menyebabkan harga minyak naik yang memberi kesan kepada jumlah kutipan. Bila berlaku isu begini, orang lebih mementingkan ekonomi sendiri dan hiburan menjadi pilihan terakhir."Isu berkaitan kutipan ini sangat subjektif. Tak mudah untuk merasakan gerak hati orang ramai," katanya ketika dihubungi mStar.ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tarung’ buat Aedy Ashraf rasa nak menangis setiap hari, tak peduli kata-kata sinis perlekeh kemampuan ARTIKEL BERKAITAN: Babak aksi ‘single take’ terpanjang, Chelot terima pengiktirafan MBORMengakui sedikit bimbang, Yusof yang juga pemilik syarikat produksi Skop Productions Sdn Bhd memberitahu, keadaan yang berlaku ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan filem terbaharu.Pada masa sama, dia juga melihat perkembangan positif dari sudut penghasilan filem yang lebih berkualiti."Apa sahaja filem yang dihasilkan, kami reda dan sentiasa berdoa. Tidak pernah meletakkan sasaran, cuma tidak mahu rugi. Susah untuk meramalkan kutipan di pawagam."Perjuangan kena diteruskan. Penerbit cuba berikan yang terbaik untuk penonton tetapi tiada jaminan tentang sambutan."Saya melihat industri perfileman kita terus bergerak. Momentum penghasilan filem masih baik. Jadi, tidaklah begitu kecewa," luahnya.Yusof juga meletakkan harapan agar dua filem yang bakal ditayangkan, iaitu Kudrat 1968: High Council dan Takluk 2: Op Daulat, mendapat sambutan sebagai penutup yang baik bagi jumlah kutipan secara keseluruhan sepanjang tahun ini.Senarai kutipan filem tempatan untuk 2026 setakat Oktober. Andy Teh anggap trend berubah, audiens tunggu filem di OTTMengulas isu tersebut, aktor filem Abah Saya Uncle Mike, Andy Teh pula berpandangan kemerosotan itu bukanlah berpunca daripada kelemahan mana-mana, sebaliknya didorong oleh trend pengguna yang kini bergantung kepada platform penstriman digital (OTT).Jelas Andy atau Andy Teh Kim Huat, 41, kemudahan tersebut menyebabkan corak pemikiran penonton berubah apabila mereka lebih rela menunggu tayangan digital berbanding mengeluarkan wang membeli tiket wayang.“Bagi saya tiada silap sesiapa, cuma berlaku pertukaran era. Sekarang orang sudah terlampau biasa dengan platform OTT seperti Netflix dan Astro Go.“Penonton sudah tidak sabar menunggu seperti dahulu. Sebaliknya mereka berfikir, 'tak mengapalah, tunggu sebulan dua nanti lepas panggung akan keluar di Netflix'.“Tambahan pula, hanya genre aksi dan seram yang masih mempunyai tarikan ke pawagam kerana faktor kepuasan skrin besar dan sistem bunyi. Kalau sekadar genre drama biasa, penonton akan rasa lebih baik tunggu di kaca televisyen sahaja,” katanya. Andy anggap platform OTT kini mendominasi.Menyentuh aspek publisiti, Andy melihat pihak penerbitan perlu lebih berani bereksperimen dengan kaedah pemasaran baharu. “Sebagai orang berniaga, kita kena cuba cara pemasaran yang berlainan dan tiada istilah siapa betul atau salah. Macam Astro buat pertukaran baharu untuk filem Kudrat, mereka mulakan dengan drama siri empat episod dan episod kemuncak dijadikan filem pawagam.“Dari sudut pelakon pula, tanggungjawab kita adalah masuk set dan berikan persembahan terbaik untuk watak itu. Manakala produksi dan pemasaran ada peranan mereka sendiri.“Jadi tidak ada seorang pun yang patut kita salahkan kalau filem itu tidak blockbuster, apa yang paling penting adalah kerjasama seluruh pasukan,” jelasnya.A. Aida akur filemnya kurang dapat sambutanPenerbit Datuk A. Aida, 56, pula akur apabila filem terbaharunya, Bisikan Nafsu kurang mendapat sambutan sejak ditayangkan pada 1 Oktober lalu.Melihat dari sudut positif sebagai pembikin filem, A Aida percaya penghasilan sesebuah karya bukan hanya bertujuan untuk mengutip keuntungan ketika tayangan.Bukan rezeki buatnya untuk meraih keuntungan, namun penerbitan sebuah filem dapat membuka ruang kepada pelakon dan kru produksi mencari sumber pendapatan.A Aida tidak putus semangat hasilkan filem baharu. "Kita sudah berusaha, mengorbankan masa, tenaga, wang ringgit dan meletakkan harapan yang tinggi. Namun, akhirnya kita akur bahawa sehebat mana pun perancangan manusia, ketentuan Allah tetap mengatasi segalanya."Sebagai penerbit, kerugian itu memang terasa. Tetapi kita harus percaya bahawa rezeki bukan sekadar keuntungan, dan kegagalan bukan bererti Allah meninggalkan kita."Malah, apabila penerbitan kita menjadi asbab rezeki kepada pelakon, kru produksi dan keluarga mereka, itu juga satu nikmat. Mudah-mudahan segala usaha yang halal, kebaikan dan keikhlasan turut mendapat ganjaran pahala," luahnya.Sebagai peneraju syarikat A. Aida Production Sdn Bhd, situasi yang berlaku dianggap sebagai pembakar semangat untuk terus menerbitkan filem-filem terbaik buat sajian penonton.Filem Bisikan Nafsu kurang mendapat sambutan di pawagam. Dia juga percaya kerja keras akan membuahkan hasil apabila tiba masa yang tepat."Mungkin Allah belum mengizinkan kejayaan itu hadir hari ini. Mungkin ada sesuatu yang sedang Allah ajarkan. Mungkin juga ada rezeki yang lebih baik menanti pada waktu yang hanya Dia mengetahui."Kita belajar untuk reda, bukan kerana sudah mengalah, tetapi kerana yakin setiap ketentuan mempunyai hikmah," luahnya.Menerusi Laporan Data Kutipan Filem Di Bawah Skim Wajib Tayang yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), filem Bisikan Nafsu mencatat kutipan RM156,800 selepas 21 hari tayangan.Kutipan filem bukan kayu ukur filem gagal - Trisha Sementara itu, pelakon utama filem Nar'sata: Sekutu Setan, Trisha Ooi menegaskan kutipan tiket yang rendah tidak wajar dijadikan kayu ukur untuk melabelkan sesebuah karya tempatan itu sebagai gagal.Bagaimanapun, Trisha mengakui kelemahan daripada sudut promosi menjadi antara punca sesetengah filem tempatan kurang disedari oleh masyarakat umum.“Kutipan yang tidak memberangsangkan bukanlah bermakna cerita itu tidak menjadi. Saya tetap berbangga dengan lambakan produk tempatan tahun ini kerana bukan mudah untuk menghasilkan sesebuah filem yang berkualiti.“Untuk filem Nar'sata contohnya, walaupun kutipan tidak memberangsangkan dan hanya tercalon dalam dua kategori FFM, saya tetap bangga menjadi sebahagian daripadanya kerana tahu proses pembikinan dari awal.“Namun dari sudut promosi, saya rasa usaha itu perlu digandakan lagi untuk memaklumkan kepada masyarakat bahawa sesebuah cerita itu sedang atau bakal ditayangkan,” ujarnya.Trisha akui promosi yang lemah antara faktor kemunculan filem kurang disedari oleh masyarakat.Dalam masa sama, Trisha turut meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir individu tidak bertanggungjawab yang merakam serta menjual naskhah baharu di platform digital secara haram.Tegasnya, perbuatan khianat tersebut secara langsung membunuh industri perfileman tanah air yang sedang berhempas-pulas menghasilkan karya terbaik.“Perbuatan merakam dan menjual filem cetak rompak sangat merugikan pembikin filem serta merosakkan industri kita. Kita buat susah-payah dan mahu orang ramai sokong di pawagam, tetapi bila ada yang buat begini, ia langsung tidak wajar.“Kita selalu bandingkan filem luar negara hebat dan rakyat mereka beri sokongan penuh. Sepatutnya kita sendiri yang kena ada rasa hormat, sayang dan menyokong industri perfileman tanah air dengan saluran yang betul,” ujarnya.Sehingga kini, hanya enam filem memperoleh kutipan melebihi RM10 juta. Selain Tarung: Unforgiven, filem-filem lain ialah Chelot (RM19.31 juta), Polong (RM15.05 juta), Libang Libu (RM14.16 juta), Malaikat Malam (RM12.23 juta) dan Ah Beng Vs Liang Po Po (RM10.04 juta).Manakala, majoriti filem lain pada tahun ini sekadar mengutip ratusan ribu dan tidak kurang juga yang membawa pulang cuma puluhan ribu ringgit sahaja.Ikuti BAHAGIAN 2 isu ini daripada perspektif beberapa pengarah filem dan Finas, esok.