suria

‘Tarung’ buat Aedy Ashraf rasa nak menangis setiap hari, tak peduli kata-kata sinis perlekeh kemampuan

Aedy kini bergelar sebagai penerbit.

MENGGALAS tanggungjawab sebagai penerbit menerusi filem Tarung: The Unforgiven, pelakon Aedy Ashraf mendedahkan dia sudah lali dengan kata-kata sinis segelintir pihak yang meragui kemampuannya.

Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosli, 33, menyifatkan kecaman atau pandangan rendah orang sekeliling bukan lagi satu perkara asing bagi dirinya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.

Bagi Aedy, segala komen negatif tersebut sedikitpun tidak menggugat semangatnya untuk mengejar impian yang sudah dipendam sejak belasan tahun lalu.

Aedy berkongsi perkara itu ketika ditemui media. 

"Pandang rendah itu sangat biasalah bagi saya. Saya tak anggap benda itu sebagai benda untuk hentikan perjalanan saya. 

"Ia sudah terlalu biasa dah saya lalui daripada dulu sampai sekarang. Orang pandang rendah ini macam kawan baik saya dah. 

"Jadi saya tak tergugat ataupun mengambil berat pun pasal perkara itu sebab pada pengakhirannya saya cuma buat perkara ini untuk diri saya sendiri dan impian saya," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dahulu saya sangat liar hingga terlibat dengan dadah, kaki kelab, parti dan merompak” - Aedy Ashraf

ARTIKEL BERKAITAN: Lahir ketika bapa dalam penjara, Aedy Ashraf kongsi pengalaman pernah ‘diculik’... “Sekarang dia di Kelantan, dah jadi orang masjid”

Aedy berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Tarung pada Jumaat. 

Bercerita lanjut mengenai cabaran di kerusi penerbit, Aedy mengakui proses pembikinan filem tersebut sangat mencabar mental dan fizikal sehingga dia pernah terfikir untuk berhenti di tengah jalan.

Jelas Aedy, setiap hari merupakan satu perjuangan buat dirinya namun minat yang mendalam terhadap seni filem menjadi pendorong utama untuk dia terus bangkit.

Aedy akui bukan mudah untuk melengkapkan filem Tarung. 

"Cabaran dia, saya tiap-tiap hari nak menangis sebenarnya buat filem ini. Tiap-tiap hari rasa nak 'give up'. Tiap-tiap hari bangun tidur rasa macam… eh, kenapa aku kena buat benda ni?

"Tapi apa yang buat saya kuat adalah saya ingat balik kenapa saya buat benda ni. Saya nak tunjukkan kepada pembikin filem muda kat luar sana yang kalau saya boleh buat, kenapa mereka tidak boleh?" ujarnya.

Kata Aedy, meskipun tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam bidang perfileman, namun dia mahu membuktikan bahawa usaha keras dan minat mampu membuahkan hasil yang membanggakan.

Dia berharap keberaniannya menerbitkan filem dapat menyuntik inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar minat masing-masing walaupun berdepan pelbagai rintangan.

Orang pandang rendah ini macam kawan baik saya dah. 

AEDY ASHRAF

PELAKON DAN PENERBIT

"Tapi apa yang buat saya kuat adalah saya ingat balik kenapa saya buat benda ini. Ia kerana saya mahu menunjukkan kepada produksi ataupun pembikin filem muda di luar sana yang jika saya boleh buat, kenapa tidak anda?

"Saya tak habis sekolah, saya tak pergi belajar filem tapi saya boleh buat. Jadi saya cuma nak perkara itu sampai kepada pembikin filem di luar sana agar terus berkarya," ujarnya. 

Untuk info, selain Aedy, antara pelakon lain yang turut melakonkan filem tersebut adalah Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Bront Palarae, Azira Shafinaz dan ramai lagi. 

Filem terebut bakal ditayangkan pada 7 Mei di seluruh pawagam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain