suria

Cabaran untuk anak, Nana Mahazan harap Althea fasih bahasa Melayu selepas sertai TTMM2

Nana anggap anak masih muda untuk kecaman.

PENGACARA Nana Mahazan melihat penglibatan anak perempuannya, Althea dalam program Talk To My Manager musim kedua sebagai satu proses pembelajaran baik.

Nana atau nama sebenarnya Nurul Nana Che Mahazan, 42, berkata Althea berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu, sekali gus menjadi cabaran terbesar sepanjang menyertai rancangan tersebut.

Menurut Nana, meskipun program itu belum memulakan siaran, namun anaknya sudah berasa tertekan sehingga mengalirkan air mata ketika sesi rakaman promosi.

Nana anggap cabaran buat anaknya, Althea.

“Program ini menarik sebab dapat lihat dia keluar dari zon selesa. Cuma saya rasa cabaran terbesar dia adalah bercakap dalam bahasa Melayu.

“Masa mula-mula rakaman promo, dia ada menangis. Saya tanya kenapa, sebab belum diserang netizen, rupanya dia rasa susah nak bercakap Melayu.

“Sebenarnya dia boleh cakap, tapi bila orang tanya laju-laju, dia tak sempat nak terjemahkan apa yang difikirkan dan jadi panik,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nana Mahazan malu nak merungut, terkesan dengar ujian berat insan lain… “Kisah ibu bapa layan anak macam orang asing paling meruntun jiwa”

ARTIKEL BERKAITAN: Nana Mahazan hos baharu Borak Dulu Baru Buka, sarat pengisian rohani Ramadan

Nana bagaimanapun berkata dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, sebaliknya lebih mementingkan perkembangan diri anaknya.

“Kalau dia tak menang pun tak mengapa. Asalkan bila habis program nanti dia lebih fasih bercakap Melayu, itu pun saya sudah cukup gembira,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nana mengakui dia dan suami iaitu Brian, pada awalnya berasa ragu-ragu untuk membenarkan Althea terlibat kerana faktor usia.

Katanya Althea tiada masalah dalam nyanyian namun sikap pemalu yang dimiliki itu membuatkan mereka bimbang.

Saya sendiri pernah melalui fasa dihina dan dikecam sebelum ini.

NANA MAHAZAN

PENGACARA

“Saya dan suami rasa dia masih terlalu muda untuk berdepan dengan penilaian orang ramai. Saya sendiri pernah melalui fasa dihina dan dikecam sebelum ini.

“Jadi saya tak pasti sama ada Althea benar-benar bersedia atau tidak, memandangkan dia baru berusia 16 tahun,” kongsinya.

Selain Nana dan anaknya, turut bertanding ialah pasangan Adira dan Anggrek, Datuk A. Aida dan Azeva, Datuk Fazley dan Fariedz Fazley serta Datuk Seri Vida dan Cik B.

Nana percaya bakat yang dimiliki anak.

Sementara itu, pasangan lain yang turut memeriahkan TTMM2 ialah Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Ani Maiyuni dan Viviana, Pak Azad dan Amarra serta Safura dan Kim Khairii.

TTMM2 akan bersiaran mulai 19 April depan, pukul 9 malam secara langsung di Astro Ria (saluran 104).

Musim ini turut menampilkan Datuk Aznil Nawawi sebagai pengacara, manakala Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal sebagai juri tetap.

Artikel Lain