MAHKAMAH Majistret mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) terhadap pihak yang terlibat dalam kes Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berdepan dua pertuduhan mencederakan anggota polis 28 September lalu.Perintah itu melarang pihak berkenaan mengeluarkan kenyataan berkaitan kes, termasuk peguam pemerhati yang mewakili dua anggota polis terbabit, barisan peguam tertuduh dan pihak pendakwaan. Majistret Khairatul Animah Jelani membenarkan permohonan pihak pembelaan itu ketika sebutan semula kes pada Rabu selepas mendengar hujahan serta meneliti afidavit dan ekshibit yang dikemukakan.Menurutnya, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut."Maka mahkamah memerintahkan perintah halangan ataupun gag order dikeluarkan bagi pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini sahaja sepertimana yang dinyatakan dalam notis usul," katanya.Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes.Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25.Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara pukul 1.27 hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.Mohd Shuhaily pula diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.Terdahulu, kedua-dua anggota polis berkenaan mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Mohd Shuhaily dalam kejadian pada 28 September lalu.Malah insiden yang direkodkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu kemudian tular di media sosial sehingga mendapat perhatian masyarakat.Susulan penularan rakaman tersebut, Mohd Shuhaily tampil menjelaskan kejadian berlaku ketika beliau bersama pasukan menjalankan pemeriksaan kesiapsiagaan operasi sempena acara Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026 di KLIA.