PKR Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 bagi menghormati kerjasama politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.Keputusan itu dibuat demi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, selain mengekalkan persefahaman yang dibina bersama GPS. Perkara tersebut diumumkan menerusi kenyataan bersama Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR, Roland Engan; dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah pada Selasa."Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini ialah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat serta komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik pada peringkat negeri dan Persekutuan," ujarnya.Pendirian berkenaan turut bertujuan memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).Pada masa sama, agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak akan terus diberikan perhatian.Menurut kenyataan itu, PKR Sarawak kekal komited menjunjung prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial, selain mengutamakan kesejahteraan rakyat.Susulan keputusan tersebut, seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat di negeri itu diarahkan mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan.Mereka turut diminta menjaga hubungan baik dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS."PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini," tambahnya.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember depan sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13, manakala penamaan calon berlangsung Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Disember.