Mohamad Khairil (tengah) ketika sesi sidang media Ehsan Family Fiesta 2026 yang diadakan di Wisma PKPS pada Selasa.
PELBAGAI aktiviti menarik termasuk jualan barangan keperluan pada harga istimewa, hiburan serta program kekeluargaan bakal menanti pengunjung menerusi penganjuran Ehsan Family Fiesta 2026.Berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 November ini, festival anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu menyasarkan kehadiran seramai 10,000 pengunjung. Mengangkat tema 'Semarak Keluarga, Meriah Bersama', acara berkenaan akan berlangsung di Pekarangan Parkir Kereta Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam.Penganjuran festival itu merupakan antara usaha PKPS untuk memperkenalkan peranan organisasi berkenaan, anak-anak syarikat serta rangkaian produk dan inisiatif Ehsan kepada masyarakat dalam suasana santai dan mesra keluarga.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, festival berkenaan bukan sekadar platform memperkenalkan produk dan inisiatif PKPS, malah menjadi ruang untuk keluarga serta komuniti meluangkan masa bersama.Mohamad Khairil (kiri) berharap festival itu dapat memberi peluang kepada masyarakat mengenali dengan lebih dekat usaha PKPS dalam menyediakan produk dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat."Ehsan Family Fiesta 2026 bukan sekadar platform untuk memperkenalkan produk dan inisiatif PKPS, malah menjadi ruang untuk keluarga dan komuniti meluangkan masa bersama menerusi pelbagai aktiviti, hiburan serta pengalaman menarik."Kami berharap festival ini dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat, selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat usaha PKPS dalam menyediakan produk dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya menerusi satu sidang media pada Selasa.Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd, Md Fazir Abdul Latif serta Ketua Bahagian Pengurusan Pemegang Taruh, Noor Azreena Abdul Aziz.Antara tarikan utama ialah Ehsan Market & Experience yang menampilkan jualan produk Ehsan, Jualan Ehsan Rahmah, Ehsan Marketplace serta pameran produk.Ehsan Family Fiesta 2026 berlangsung selama tiga hari di Pekarangan Parkir Kereta, Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam.Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan menerusi Jualan Ehsan Rahmah Madani yang menawarkan jualan ayam, telur dan pelbagai barangan lain pada harga lebih rendah.Antara tawaran istimewa yang bakal mencuri perhatian ialah jualan ayam pada harga RM5 seekor menerusi promosi 'happy hour' dengan sasaran menyediakan kira-kira 1,000 ekor ayam untuk pengunjung.Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai tawaran jualan menarik, selain menyertai aktiviti misi kad setem dan mendapatkan hadiah misteri. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstarmalaysia)Bagi yang ingin meluangkan masa bersama keluarga, pelbagai aktiviti turut disediakan antaranya Zumbaton, senamrobik, Ehsan Family Challenge, pertandingan mewarna, pertandingan tarian, pertandingan memasak berkonsepkan keluarga serta pertandingan makan buah.Pilihan makanan dan minuman juga tidak kurang menarik menerusi Ehsan Food Fiesta yang menghimpunkan trak makanan serta gerai vendor dengan pelbagai pilihan hidangan. Demonstrasi memasak turut menjadi antara pengisian sepanjang festival berlangsung.Bagi memeriahkan suasana, pengunjung turut disajikan dengan persembahan hiburan menerusi Malam Alunan Kasih pada 27 November (Jumaat) yang menampilkan kumpulan Inteam dan Nowseeheart serta penyanyi Aris Ariwatan.Barisan artis bakal memeriahkan Ehsan Family Fiesta 2026 yang berlangsung di Pekarangan Parkir Kereta, Wisma PKPS, Shah Alam.Pada 28 November pula, Showcase SuriaFM@PKPS bakal menampilkan barisan artis popular tanah air iaitu kumpulan Alpha, Khai Bahar, Nadeera dan Datuk Ameng daripada kumpulan Spring.Selain persembahan busker dan aktiviti bersama Suria Wheels, pengunjung turut berpeluang menyertai permainan percuma serta mendapatkan saringan kesihatan yang disediakan di lobi Wisma PKPS.Kemuncak festival pada 29 November menyaksikan majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan tarian dan penyampaian hadiah kepada pemenang.Dalam masa sama, PKPS turut mengambil inisiatif menyantuni komuniti terjejas akibat banjir menerusi sesi penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir yang akan diadakan pada dua acara utama iaitu Malam Alunan Kasih pada 27 November dan Majlis Perasmian Ehsan Family Fiesta 2026 pada Ahad.Orang ramai khususnya warga Selangor dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan festival berkenaan yang menjanjikan pelbagai pengalaman menarik sepanjang tiga hari penganjuran.