BAGI pengumpul emas, istilah dinar sememangnya tidak asing lagi terutama dalam urusan simpanan dan pelaburan.Namun, pernahkah anda terfikir mengapa berat bagi satu dinar emas ditetapkan khusus bersamaan 4.25 gram? Penetapan berat berkenaan sebenarnya berkait rapat dengan sejarah sistem ukuran berat dalam tamadun Islam yang dikenali sebagai mithqal.Mungkin kedengaran sedikit asing dalam kalangan masyarakat hari ini, namun mithqal merupakan asas ukuran berat emas yang digunakan di rantau timur tengah suatu ketika dahulu.Menurut Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), istilah dinar berasal daripada perkataan bahasa Latin Denarius, iaitu mata wang digunakan oleh Kerajaan Rom sekitar tahun 211 Sebelum Masihi dengan berat dianggarkan 4.5 gram.Bermula pada zaman pemerintahan Khalifah ketiga Islam, Saidina Umar al-Khattab, corak mata wang Islam mula diukir dengan nama Allah serta sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran.Malah, berat mata wang Islam turut diseragamkan pada ketika itu di mana satu dinar ditetapkan mesti mengandungi emas seberat satu mithqal, iaitu bersamaan 4.25 gram seperti yang digunakan sehingga ke hari ini.Sementara itu, seorang pengedar emas berdaftar, Mohd Shahrul Adzhar turut berkongsi kisah sejarah di sebalik berat satu dinar emas.Jelasnya, penetapan piawaian berkenaan amat penting dalam urusan perdagangan bagi membolehkan kiraan yang saksama digunakan oleh pelbagai negeri dan wilayah."Bayangkan kalau setiap negeri menghasilkan syiling emas dengan berat yang berbeza."Hari ini satu dinar dikatakan bernilai sekian tetapi beratnya berbeza, esok pedagang dari negeri lain datang dengan dinar yang lebih ringan."Sudah tentu urusan perdagangan menjadi lebih rumit. Apabila ukuran lebih seragam, pedagang lebih mudah menentukan nilai sesuatu syiling dan urusan jual beli lebih teratur," katanya di Threads.Sehingga kini, kiraan dinar kekal sebagai 4.25 gram selaras diguna pakai serata dunia sejak berzaman lamanya.Tidak terjejas akibat inflasi mahupun krisis ekonomi dunia, simpanan emas lebih stabil berbanding wang kertas dan sesuai dijadikan sebagai simpanan jangka masa panjang.