Dua individu terjatuh ketika motosikal dinaiki mereka cuba meredah banjir kilat berhampiran i-City, Shah Alam pada Selasa. -Foto media sosial
SEBUAH motosikal yang dinaiki seorang individu bersama anaknya dilaporkan terbalik ketika meredah banjir kilat di kawasan bawah jejambat berhampiran i-City, Shah Alam, pada petang Selasa.Menerusi video yang dikongsikan pengguna Threads, @iekarshd, kedua-dua individu berkenaan dilihat memakai baju hujan sebelum motosikal yang dinaiki mereka terlanggar sesuatu sebelum terbalik ketika melalui laluan yang dinaiki air. "i-City dah naik air... Kepada yang bawa motosikal hati-hati lalu kawasan banjir. Kesiannya adik tu," tulisnya.Keadaan banjir kilat yang dirakam dan dikongsikan pengguna media sosial sekitar pukul 2.00 petang di kawasan i-City, Shah Alam. Difahamkan, video berkenaan dirakam oleh pengguna jalan raya yang berhenti di tepi jalan ketika laluan tersebut dinaiki air."Langgar lubang kot. Kesiannya, dah la bawa anak."Sebab tu tak boleh sembarangan lalu kawasan banjir. Mujur tiada kereta di belakang," demikian antara komen netizen. Dalam pada itu, menerusi perkongsian pengguna media sosial lain, hujan lebat yang melanda Seksyen 7, Shah Alam sekitar pukul 2 petang menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.Kejadian itu turut menjejaskan kelancaran trafik apabila banjir kilat berhampiran i-City menyebabkan kesesakan lalu lintas menghala ke Lebuhraya Persekutuan dari arah Bukit Raja dan Seksyen 7.