WRC terus menjadi platform utama dalam membentuk bakat muda tempatan khususnya dalam bidang STEM yang merupakan tulang belakang kepada kemajuan negara.
WORLD of Robotics Championship (WRC) 2026 terus mengukuhkan kedudukan sebagai platform utama melahirkan bakat masa hadapan apabila berjaya menghimpunkan sebanyak 136 pasukan, terdiri daripada 91 buah sekolah seluruh negara yang bersaing merebut hadiah utama.Kejohanan edisi kelapan anjuran World of Robotics Sdn. Bhd. dengan Management and Science University (MSU) selaku tuan rumah itu berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Oktober. Sepanjang pertandingan, peserta diuji dari segi kemahiran teknikal, pemikiran kritis, kreativiti, kejuruteraan serta keupayaan menyelesaikan masalah dunia sebenar melalui aplikasi amali sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).Menariknya untuk edisi kali ini, pihak World of Robotics Sdn Bhd menaja tiket penerbangan bagi pemenang untuk kesemua 12 kategori yang dipertandingkan.Penajaan tersebut membuka laluan emas kepada para pemenang untuk membawa cabaran serta nama Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi kejohanan robotik di Beijing, China pada tahun 2027.Antara pasukan yang berjaya muncul sebagai pemenang dalam saingan WRC 2026 baru-baru ini. -WRC 2026Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Madya Dr Ahmad Mukifza Harun berkata, penganjuran kejohanan sedemikian amat penting dalam membentuk generasi muda yang berupaya menghasilkan inovasi sendiri. “Pertandingan robotik bukan sekadar medan untuk merebut kemenangan dan pingat, malah menjadi ruang penting untuk membangunkan bakat inovator muda negara. “Malaysia perlu bergerak melangkaui peranan sebagai pengguna teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya membangunkan keupayaan tempatan untuk mereka bentuk, membangunkan dan mengkomersialkan teknologi sendiri,” katanya ketika berucap menyempurnakan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah WRC 2026 di Shah Alam, Selangor.Tambah beliau, langkah terbabit selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021–2030, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menekankan automasi pintar, pembangunan bakat serta penguasaan teknologi bernilai tinggi. Justeru, beliau turut menggalakkan para peserta agar memperluas idea rekaan robot mereka melangkaui gelanggang pertandingan, termasuk meneroka aplikasi bagi membantu sektor pertanian, menyokong golongan orang kurang upaya (OKU), meningkatkan pemantauan alam sekitar serta menjadikan tempat kerja lebih selamat. Sementara itu, Pengerusi World of Robotics Sdn Bhd, Zainureen Mohd Nor berkata, kejayaan untuk menganjurkan kejohanan itu secara konsisten selama lapan tahun mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperluas akses pendidikan robotik di Malaysia.“Robotik merupakan elemen penting dalam pendidikan STEM yang membantu pelajar menggabungkan pengetahuan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam menghasilkan penyelesaian yang praktikal. “Kami berharap kerjasama antara kerajaan, agensi, sektor swasta, institusi pendidikan, guru dan ibu bapa dapat terus diperkukuh bagi memperluas peluang pembangunan bakat, termasuk membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan,” ujarnya.