SEORANG lelaki maut selepas Perodua Kancil yang dipandunya melanggar seekor babi sebelum terbabas lalu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Hulu Selangor pada Rabu.Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 50-an dikatakan sedang dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Ulu Bernam. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Manimaran Muniandi berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai melanggar seekor babi yang melintas dari sebelah kiri jalan.Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan."Sebuah lori muatan kosong yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an dari arah bertentangan kemudian tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta berkenaan.“Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan."Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli, menerusi talian 03-6064 1222 atau hadir ke balai polis berhampiran.