suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Rakam gambar pornografi, serang seksual murid 12 tahun... Bekas guru besar dipenjara 20 tahun, 11 sebatan

Hukuman berat menanti pesalah. -Gambar hiasan AI

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menjatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 11 sebatan terhadap seorang bekas guru besar pada Rabu selepas didapati bersalah merakam gambar berunsur pornografi serta melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang murid perempuan Tahun Enam.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah sekolah di Perak pada pertengahan Mac 2021 dan 3 April 2021

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menolak rayuan Anuar Kintan, 59, terhadap sabitan dan hukuman bagi pertuduhan merakam gambar pornografi.

Pada masa sama, panel membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah bawahan yang membebaskan dan melepaskan tertuduh daripada pertuduhan kedua, iaitu melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa yang berusia 12 tahun ketika kejadian.

Mahkamah kemudian mensabitkan Anuar atas pertuduhan itu dan dia dijatuhi hukuman penjara 11 tahun serta tiga sebatan.

Hakim Noorin yang menyampaikan keputusan itu mengarahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan secara berturut-turut.

Beliau turut mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap Anuar untuk memulakan hukuman pada hari sama.

Tertuduh sebelum ini mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibebaskan dengan ikat jamin RM14,000 bersama seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan mahkamah bawahan yang membebaskan Anuar daripada pertuduhan ketiga dan keempat, masing-masing berkaitan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa serta mengeluarkan kata-kata berunsur seksual yang dimaksudkan untuk didengari mangsa.

Menurut Noorin, mangsa memberikan keterangan secara langsung dengan mengenal pasti tertuduh sebagai individu yang mengambil gambar berkenaan.

Keterangan itu turut diterima oleh hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes tersebut.

Beliau berkata, kewujudan gambar berkenaan bukan sekadar dakwaan tanpa bukti kerana pemeriksaan forensik turut mengesan imej terbabit dalam telefon bimbit Anuar.

Berhubung pertuduhan kedua, mahkamah tidak bersetuju bahawa alibi yang dikemukakan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Isteri tertuduh sebelum ini memberi keterangan bahawa suaminya berada di rumah bersamanya dan bukannya di sekolah ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, Noorin berkata keterangan rakan mangsa menyokong kes pendakwaan berhubung keberadaan tertuduh di sekolah pada 3 April 2021 serta pergerakannya bersama mangsa.

Justeru, mahkamah memutuskan alibi yang dikemukakan tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

Pada 19 April 2024, Mahkamah Sesyen mendapati Anuar bersalah atas pertuduhan pertama kerana mengambil gambar mangsa untuk tujuan pornografi dan menjatuhi hukuman penjara tiga tahun serta dua sebatan.

Mahkamah itu turut menjatuhi hukuman penjara tambahan setahun dan dua sebatan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak oleh individu yang memegang kedudukan amanah.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berturut-turut.

Bagaimanapun, tertuduh dibebaskan daripada tiga pertuduhan lain ketika itu.

Pada 15 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama kepada sembilan tahun serta lapan sebatan, selain mengekalkan keputusan pembebasan bagi tiga pertuduhan lain.-The Star

Artikel Lain