Siapa sangka produk yang pernah digunakan sebagai pencuci lantai boleh berevolusi menjadi produk pencuci mulut. -Gambar hiasan
CECAIR pencuci mulut sudah menjadi antara keperluan utama dalam rutin penjagaan kesihatan oral dengan lebih baik.Tapi tahukah anda, salah satu produk cecair pencuci mulut popular iaitu Listerine sebenarnya dicipta untuk kegunaan yang sama sekali jauh daripada fungsinya. Listerine dilancarkan buat pertama kali pada 1879 oleh Dr Joseph Lawrence dari Missouri, Amerika Syarikat bersama ahli farmasi Jordan Wheat Lambert sebagai cecair pembasmi kuman di dewan bedah.Dinamakan sempena pelopor pembedahan antiseptik British, Sir Joseph Lister, formula berasaskan alkohol ini pada mulanya digunakan khusus untuk mencuci luka pembedahan dan mensterilkan peralatan hospital.Bagaimanapun, disebabkan sambutan dingin produk itu dalam kalangan pakar perubatan, syarikat pengeluarnya, Lambert Pharmacal Company terpaksa mencari jalan lain untuk melariskan produk tersebut.Akibatnya, Listerine mula dipasarkan bermula pada awal abad ke-20 secara terbuka sebagai cecair serbaguna untuk pelbagai tujuan antaranya sebagai ubat sapu kulit kepala, deodoran ketiak dan termasuk pencuci lantai.Pengenalannya sebagai pencuci mulut hanya bermula pada 1914, dengan tahap jualannya masih kekal tidak memberangsangkan kerana masyarakat ketika itu tidak menganggap nafas berbau sebagai satu masalah besar yang memerlukan rawatan.Taktik 'Halitosis'Titik perubahan luar biasa berlaku sekitar 1920-an apabila anak pengasas syarikat berkenaan, Gerard Lambert, mengambil alih bahagian pemasaran.Menyedari orang ramai tidak kisah tentang bau mulut, mereka mula memperkenalkan satu istilah perubatan lama yang kedengaran serius dan menakutkan iaitu halitosis.Ia merupakan gabungan perkataan Latin 'halitus' yang bermaksud nafas, dan kata apitan Greek '-osis' yang merujuk kepada keadaan penyakit. Menerusi siri kempen iklan agresif, mereka memaparkan kisah watak fiksyen seorang gadis jelita bernama Edna yang sering ditinggalkan kekasih dan gagal berkahwin semata-mata kerana menghidap halitosis.Slogan ikonik mereka, "Often a bridesmaid, never a bride" (Hanya jadi pengapit, tak pernah menjadi pengantin) kemudiannya berjaya mencetuskan rasa bimbang dalam kalangan masyarakat sehingga ramai mula menghidu nafas sendiri kerana takut dipulaukan.Secara asasnya, Listerine selamat dikumur kerana ia bukanlah menggunakan bahan kimia pencuci lantai beracun seperti bahan pencuci moden.Sebaliknya ia dicipta menggunakan empat ekstrak herba semula jadi iaitu minyak pudina atau (menthol), herba thyme (thymol), kayu putih (eucalyptol), dan wintergreen. Gabungan minyak pati tumbuhan yang dilarutkan bersama alkohol ini bertindak memecahkan dinding sel bakteri, sama ada kuman yang melekat di atas permukaan lantai, pada luka pembedahan, mahupun plak di celah gigi. Memandangkan formula asalnya memang dihasilkan khusus sebagai antiseptik gred perubatan ia menyebabkan produk sebegini dijamin selamat dan tidak menghakis tisu lembut di dalam mulut.