KETERUJAAN menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi membuatkan seorang warga emas berusia 88 tahun sanggup bangun seawal pukul 3 pagi pada Sabtu.Bagi Vong Fook Hoi atau lebih mesra disapa Uncle Wong, hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan hari biasa, hingga membuatkan semangatnya berkobar-kobar untuk membuang undi. Malah, keterujaan itu menyebabkan dia sukar melelapkan mata pada malam sebelum hari pengundian."Saya bangun pukul 3 pagi kerana tidak sabar mahu mengundi. Malam tadi pun saya tidak dapat tidur."Saya datang ke pusat mengundi ini dengan menaiki basikal. Memang ke mana-mana saya pergi, saya naik basikal," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.Bagaimanapun, perancangannya untuk tiba awal di pusat mengundi sedikit tergendala apabila dia terpaksa menunggu isterinya bersiap sebelum mereka bergerak bersama.Walaupun terpaksa menunggu agak lama untuk menyelesaikan proses pengundian, Uncle Wong tetap gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.Katanya, faktor usia bukan penghalang untuk dia keluar mengundi, malah kesihatannya masih baik.Lebih menarik, anak-anaknya juga tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila sanggup pulang dari Singapura dan Kuala Lumpur untuk mengundi.Berkongsi mengenai keputusan anak-anaknya untuk pulang mengundi, Uncle Wong berkata dia sudah berbincang dengan mereka lebih awal, namun menyerahkan sepenuhnya untuk membuat pilihan masing-masing."Sudah pesan siap. Anak-anak saya pun sudah besar, mereka tahu apa yang perlu dibuat," katanya.Uncle Wong turut menasihatkan orang ramai supaya keluar mengundi lebih awal dan tidak menunggu sehingga saat akhir.Untuk rekod, pusat pengundian bagi PRN Melaka akan ditutup pada pukul 6 petang Sabtu, manakala keputusan pilihan raya dijangka mula diketahui secara berperingkat bermula pukul 8 malam. -The Star