LEGENDA golf terkenal dunia, Tiger Woods ditahan dan didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh (DUI) 'bahan tertentu' selepas terlibat dalam kemalangan hingga kenderaannya terbalik di Florida pada Jumaat.Sheriff Daerah Martin, John Budensiek berkata insiden itu berlaku berhampiran kediaman Woods, 50, di Jupiter Island apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik di jalan dua lorong kawasan perumahan. Tambah John, kenderaan dipandu Woods bergesel dengan sebuah trak ketika cuba memotong sebelum terbalik.Woods didapati menunjukkan tanda-tanda berada di bawah pengaruh tertentu, namun lulus ujian pernafasan yang mendapati tiada kandungan alkohol dalam badannya.Bagaimanapun, dia didakwa secara rasmi atas kesalahan memandu bawah pengaruh selepas enggan menjalani ujian analisis air kencing.Menurutnya lagi, pakar pengesanan dadah yang memeriksa Woods di lokasi kejadian percaya atlet itu berada di bawah pengaruh sejenis ubat atau dadah.Namun, di bawah undang-undang Florida, Woods mempunyai hak untuk menolak ujian tersebut, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa tidak memperoleh keputusan muktamad mengenai bahan yang diambilnya ketika kejadian.Woods dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan tiada pihak lain turut cedera dalam kemalangan tersebut.Mengikut undang-undang DUI Florida, Woods ditahan sekurang-kurangnya lapan jam sebelum dilaporkan telah pun dilepaskan selepas tempoh tersebut.Untuk rekod, Woods pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2017 selain berdepan pelbagai cabaran termasuk kecederaan dan kontroversi peribadi sepanjang kariernya.Insiden terbaharu ini berlaku lima tahun selepas Woods terlibat dalam kemalangan serius di California pada 2021 yang menyebabkan kecederaan parah pada kaki kanannya sehingga memerlukan beberapa pembedahan tumit dan belakang badan. -Agensi