suria

Penantian 15 tahun berakhir, Pearly Tan-M Thinaah juara Masters Indonesia tanpa masuk gelanggang

Pearly Tan-M Thinaah bergelar juara bagi Masters Indonesia yang berlangsung di Jakarta. -Foto ShuttleHard - Badminton Malaysia

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah menamatkan penantian untuk meraih gelaran pertama tahun ini apabila dinobatkan sebagai juara Masters Indonesia dalam situasi yang tidak dijangka.

Kejayaan berstatus Super 500 BWF yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia itu menyaksikan pasangan Malaysia berkenaan tidak perlu turun ke gelanggang bagi aksi final.

Ia berikutan lawan mereka dari Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri pada saat akhir.

Difahamkan, keputusan tersebut dibuat susulan masalah kecederaan yang dialami gandingan Jepun itu, sekali gus memberikan kemenangan 'percuma' kepada Pearly-Thinaah tanpa mengeluarkan peluh.

Kemenangan tersebut bukan sahaja menebus kekecewaan mereka pada edisi lalu, malah mencatat sejarah tersendiri apabila muncul beregu wanita kedua Malaysia yang berjaya menjuarai Masters Indonesia.

Kali terakhir kejayaan sama dilakar wakil negara adalah pada tahun 2011 menerusi gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei, menjadikan kejayaan Pearly-Thinaah ini menamatkan penantian 15 tahun Malaysia dalam acara berkenaan.

Tahun lalu, Pearly-Thinaah turut mara ke perlawanan akhir kejohanan sama, namun sekadar bergelar naib juara selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dengan keputusan 12-21, 21-17, 18-21.

Sebagai rekod, sebelum beraksi di Jakarta, pasangan negara itu tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia dan mara sehingga separuh akhir Terbuka India minggu lalu.

Artikel Lain