suria

“Kaki lemah, air mata gugur depan Kaabah” - Ramadan bawa wanita ini kembali kepada fitrah, tinggalkan dunia tomboi

Yusazlinda memilih untuk mengubah penampilannya dengan memakai hijab selepas pulang daripada mengerjakan ibadah umrah.

SEJAK kecil sudah terbiasa berperwatakan dan berpakaian seperti lelaki, namun siapa sangka perjalanan menunaikan umrah pada Februari lalu menjadi titik perubahan besar dalam hidup wanita berusia 34 tahun ini.

Syukur, kesempatan menjadi tetamu Allah dan menjejakkan kaki di Tanah Suci buat pertama kali akhirnya membuka pintu hati Yusazlinda Yunus untuk kembali kepada fitrahnya sebagai seorang wanita.

"Dari kecil saya berperwatakan lelaki. Rambut tak pernah panjang sejak tadika, pakaian pun semua baju lelaki dan banyak berseluar pendek.

"Sejak darjah enam saya sudah mempunyai rasa minat kepada perempuan. Masa sekolah menengah saya pernah cuba suka lelaki, tapi perasaan itu memang tak ada," ujarnya kepada mStar.

Yusazlinda sebak apabila berpeluang mencium Kaabah ketika tawaf.

Terdahulu, kisah Yusazlinda menarik perhatian ramai selepas dia berkongsi perjalanan hijrahnya daripada seorang tomboi kepada wanita sejati menerusi Thread.

Dalam perkongsiannya, Yusazlinda berkata segalanya bermula ketika kali pertama dia melihat Kaabah di depan mata sambil mensyukuri nikmat Allah.

Bercerita lanjut kepada mStar, Yusazlinda yang berasal dari Kelantan dan menetap di Cyberjaya berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pegawai di sebuah bank pada Ogos tahun lalu selepas 10 tahun berkhidmat.

Keputusan anak bongsu daripada empat beradik itu dibuat bagi menjaga ibunya yang kurang sihat.

Walaupun berdepan kekangan kewangan ketika itu, dia bersyukur diberi peluang menunaikan umrah selepas meluahkan hasrat tersebut di media sosial sekitar Disember tahun lalu.

"Keluarga abang ipar ajak saya ikut sekali selepas mereka nampak posting saya yang berazam nak tunaikan umrah pada 2026.

"Mula-mula memang tak percaya. Abang ipar siap tawarkan untuk menaja sepenuhnya kos perjalanan dan terus minta pasport untuk isi borang dengan agensi travel.

ARTIKEL BERKAITAN: Pergi umrah mengadu kerja ‘gomen’ bosan, tak mencabar! Pemuda kini hilang nikmat masa lapang, sangat sibuk di tempat baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri pegang jawatan AJK masjid hanya kejar akhirat, tapi derhaka dengan suami... Tolak hubungan intim, daftar umrah tanpa izin!

"Sebelum ini memang tak pernah terfikir nak pergi umrah sebab saya tahu diri saya macam mana," katanya yang kini berkhidmat sebagai ejen pemasaran penapis air secara bebas dari rumah.

Berkongsi perasaan ketika di Tanah Haram, Yusazlinda berkata dia berasa terharu apabila berpeluang menyentuh dan mencium Kaabah ketika melakukan tawaf.

"Saya seorang yang susah nak menangis, tapi apabila pertama kali nampak Kaabah... kaki saya terus rasa lemah dan air mata gugur dan mengalir tanpa sedar.

"Masa nak sarung telekung pun perasaan bercampur-baur. Dalam hati tertanya-tanya, layakkah saya berada di sini dan meminta doa di depan Kaabah.

  • Wanita kongsi kisah penghijrahan selepas peluang menunaikan umrah mengubah hidupnya.
  • Pernah selesa berperwatakan lelaki sejak kecil, wanita ini kini kembali kepada fitrah selepas pengalaman di Tanah Suci.
  • Peluang menunaikan umrah yang ditaja abang ipar menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
  • Pengalaman melihat Kaabah buat pertama kali membuatkan dirinya tersentuh dan mula menilai semula kehidupan.
  • Kini istiqamah bertudung, dia berharap dapat terus kuat menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

"Tawaf pertama saya tak fokus sebab ikut saja keluarga. Tapi tawaf kedua ketika ikut mutawif saya menangis, mungkin itu tangisan paling ikhlas pernah saya rasa," ujarnya lagi.

Sekembalinya ke Malaysia pada 26 Februari, Yusazlinda membuat keputusan untuk mengekalkan penampilannya sebagai wanita dan berusaha untuk memelihatan aurat dan kehomatan diri.

Bagaimanapun dia mengakui proses menyesuaikan diri sebagai wanita Muslim sejati bukan sesuatu yang mudah.

Malah, dia turut mengagihkan pakaian lelaki yang dimilikinya selama ini sebagai langkah untuk terus istiqamah dengan keputusannya untuk berubah.

"Sejak balik umrah, saya tak tinggal pakai tudung. Nak buang sampah luar rumah pun saya pakai tudung atau tutup kepala guna hoodie.

Yusazlinda bersyukur dapat mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan.

"Nak biasakan diri pakai tudung selain tudung sarung tu memang susah. Pada peringkat awal, saya minta rakan serumah ajar cara nak pakai dan padankan tudung dengan pakaian," katanya.

Walau bagaimanapun ujar Yusazlinda, dia dapat merasakan bahawa ini adalah nikmat dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita sejati.

Sungguhpun tidak ketinggalan menerima pelbagai komen negatif daripada segelintir pihak, Yusazlinda berkata dia memilih untuk terus istiqamah dengan perubahan tersebut.

"Ada orang kata saya mungkin berubah sekejap saja sebab sudah lama terbiasa hidup macam itu. Tapi saya berdoa agar terus kuat sebab bagi saya hidup di dunia ini sementara saja.

"Saya pun fikir mak juga. Kalau dia meninggal, tak sempat tengok saya kembali ke fitrah kalau tak bertaubat. Dia tak pernah tegur atau luahkan tapi perkara itu saya sedar sendiri.

"Saya kongsi pengalaman ini bukan untuk hina sesiapa. Kita jangan fikir hidayah akan datang sendiri, kadang-kadang kita kena cari dan pastikan niat untuk berubah itu betul," katanya.

Artikel Lain