Ustaz Azhar Idrus memberi penerangan hukum disebalik membuat 'sticker' WhatsApp. -Gambar hiasan AI, kiri
PENGGUNAAN sticker (pelekat) WhatsApp yang memaparkan wajah individu tertentu kini sudah menjadi trend dan semakin popular dalam kalangan pengguna aplikasi sembang itu.Bagaimanapun dalam keghairahan kita berjenaka, timbul persoalan sama ada perbuatan menghasilkan dan berkongsi sticker sedemikian dibenarkan daripada sudut hukum Islam. Menjawab persoalan yang bermain di minda masyarakat itu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa isu berkenaan perlu dinilai berdasarkan prinsip fiqah serta kesan yang terhasil daripada penggunaan sticker tersebut.Menurut beliau, perkara utama yang perlu dilihat adalah sama ada sticker itu mendatangkan kemudaratan atau sebaliknya."Kalau ada mudarat, maka tidak boleh. Tetapi jika sticker itu membuatkan individu berkenaan berasa gembira, keluarganya suka dan tidak menimbulkan keburukan, maka ia diharuskan," jelasnya [Tonton Video].Berkongsi gambar yang boleh menjatuhkan maruah seseorang adalah perbuatan yang berdosa dan perlu dielakkan. -Gambar hiasan AIBeliau berkata, hukum penggunaan sticker wajah tidak boleh ditentukan secara umum, sebaliknya bergantung kepada kandungan dan tujuan penggunaannya.Sebagai gambaran mudah, beliau membandingkan isu itu dengan tindakan sesetengah netizen yang gemar memuat naik foto jenazah di media sosial.Katanya, jika gambar tersebut dikongsikan dalam keadaan yang baik sehingga membuatkan keluarga berasa senang dan tidak menjejaskan maruah si mati, maka hukumnya harus.Namun sebaliknya, jika gambar yang dikongsikan memaparkan keadaan jenazah yang mengaibkan, mencalarkan maruah si mati atau menambahkan kesedihan keluarga, maka perbuatan itu secara automatik menjadi haram."Ramai memuat naik gambar jenazah dalam keadaan yang mengaibkan sehingga menimbulkan kesedihan kepada ahli keluarga. Perkara seperti itu tidak dibenarkan," katanya.UAI turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil gambar individu yang berada dalam keadaan memalukan atau tidak sesuai sebelum menyebarkannya kepada orang lain.Menurutnya, tindakan berkongsi gambar yang boleh menjatuhkan maruah seseorang merupakan perbuatan yang berdosa dan perlu dielakkan.Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa menghasilkan sticker WhatsApp menggunakan gambar seseorang adalah dibolehkan selagi tidak mengandungi unsur penghinaan, membuka aib atau menyebabkan individu serta keluarganya berasa malu dan tersinggung.