Amalan salam kaut ketika kenduri seakan menjadi tradisi masyarakat Melayu di mana para tetamu memberi sumbangan ikhlas kepada tuan rumah. -Gambar hiasan AI (kanan)
MAJLIS perkahwinan yang berlangsung meriah mungkin boleh bertukar kepada bermasam muka pada malamnya apabila berlaku pertikaian berkaitan isu pemilikan wang sumbangan atau 'salam kaut'.Menerusi satu hantaran di Threads, seorang wanita mengakui berasa segan untuk bertanyakan perkara itu kepada ibu bapanya kerana menyedari mereka telah mengeluarkan perbelanjaan besar bagi menjayakan majlis perkahwinan. "Rasa segan nak tanya pasal duit salam kaut dekat ibu bapa saya sebab mereka dah berhabis-habisan untuk majlis kahwin saya. "Rasa mereka memang layak dapat semuanya, tapi pada masa sama saya pun perlukan duit itu," tulisnya.Para tetamu memberi sumbangaan kepada tuan rumah bagi tujuan meringankan beban. -Gambar hiasan Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai netizen, termasuk seorang pengguna yang merujuk kepada penjelasan daripada pihak Mufti Selangor mengenai isu berkenaan.Menurut pengguna itu, niat asal penganjuran majlis perkahwinan perlu diperbetulkan dan tidak seharusnya dilihat sebagai medan untuk mengumpul wang sumbangan.Dia kemudian turut berkongsi tangkap layar jawapan yang diperoleh daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor berhubung permasalahan tersebut.Jawapan MuftiJabatan Mufti Negeri Selangor menyatakan bahawa pemilikan wang sumbangan bergantung kepada pihak yang menerima pemberian tersebut.Menurut penjelasan yang dikongsikan menerusi portal e-Musykil, wang yang diberikan kepada pengantin dianggap sebagai hadiah dan menjadi hak milik pengantin."Semasa majlis perkahwinan, duit sumbangan yang diberi kepada pengantin adalah untuk pengantin sebagai hadiah."Jika duit itu diberi kepada ibu bapa, maka ia adalah milik ibu bapa," menurut penjelasan tersebut.Jabatan Mufti Selangor turut menjelaskan bahawa dalam adat kebiasaan masyarakat, tetamu lazimnya memberikan sumbangan kepada pihak yang menjemput mereka ke majlis berkenaan.Ini kerana terdapat tetamu yang hadir atas jemputan pasangan pengantin dan ada juga yang hadir atas jemputan ibu bapa."Oleh itu, boleh sahaja pasangan pengantin dan ibu bapa saling berbincang untuk mencapai keputusan bersama mengenai wang sumbangan tersebut," jelasnya.Dalam masa sama, Jabatan Mufti Selangor menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengahwinkan anak-anak mereka kerana ia merupakan tuntutan dalam Islam.Malah, jika timbul persoalan mengenai wang dan harta, ibu bapa mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam.Penjelasan itu turut merujuk kepada hadis daripada Jabir bin Abdullah RA yang menceritakan seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa bapanya ingin mengambil hartanya.Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu." (Riwayat Ibnu Majah)Sehubungan itu, Jabatan Mufti Selangor berpandangan bahawa isu wang sumbangan perkahwinan sebaiknya diselesaikan melalui perbincangan dan persefahaman antara pengantin serta ibu bapa bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan.