BUKAN pertama kali berlaku, pelakon Datuk Aaron Aziz mendakwa namanya sekali lagi digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab bertujuan untuk menarik keyakinan pelabur industri perfileman.Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 50, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan oleh kakitangannya mengenai seorang pelabur yang percaya sehingga terpedaya satu perjanjian menggunakan namanya. "Kelmarin (Selasa) pun ada satu kes apabila staf saya menghubungi dan bertanya kenapa nama saya digunakan. Saya sendiri terkejut kerana tidak pernah membuat sebarang perjanjian. "Kami kemudian menghubungi pelabur terbabit dan menjelaskan bahawa tiada sebarang urusan dimeterai.Aaron mendedahkan ada individu tidak bertanggungjawab cuba menipu untuk tarik pelabur filem."Apa yang berlaku hanyalah sesi perundingan dan perkenalan awal. Namun, ada pihak yang menggambarkan kepada pelabur bahawa rundingan itu sudah selesai dan persetujuan telah dicapai. Itu yang menjadi masalah," katanya kepada mStar.Aaron berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sidang media drama Bidadari Tanpa Syurga diadakan di Banglo 289, Kuala Lumpur pada Rabu.Dalam pada itu, Aaron memberitahu individu berkenaan dipercayai menggunakan nama artis terkenal sebagai modal untuk mendapatkan kepercayaan pelabur."Orang itu menggunakan nama saya sebagai alat untuk mendapatkan kepercayaan. Dia kononnya memberitahu pelabur bahawa dia sudah berjumpa artis ini dan artis itu, lalu menggambarkan seolah-olah semuanya sudah dipersetujui.ARTIKEL BERKAITAN: Bincang projek juta-juta tapi semua ‘scam’, Aaron Aziz dedah gambar diguna untuk tujuan keuntunganARTIKEL BERKAITAN: Badan cantik saja tak cukup, Aaron Aziz kata kena ada pakej lengkap... Puji pelakon aksi baharu boleh ‘fight’"Masalahnya, apabila pelabur sering menjadi mangsa penipuan seperti ini, lama-kelamaan mereka akan hilang keyakinan untuk melabur dalam industri filem. "Akhirnya pihak yang benar-benar serius dan mempunyai projek yang baik juga akan terkesan kerana kepercayaan itu sudah hilang," ujarnya. Mengulas kemunculan semakin banyak syarikat produksi baharu, Aaron berkata situasi itu menyebabkan artis sukar menilai pihak yang benar-benar komited berbanding mereka yang mempunyai agenda lain.Aaron sering menjadi mangsa kes penipuan. "Sekarang ini terlalu banyak syarikat produksi baharu muncul. Ada yang benar-benar profesional dan serius mahu menghasilkan karya, tetapi ada juga yang kita tidak pasti latar belakangnya."Kita sebagai artis akan bertemu ramai orang, termasuk pelanggan dan bakal rakan kerjasama. Itu perkara biasa dalam urusan kerja."Namun, sama ada seseorang itu benar-benar ikhlas atau mempunyai niat untuk menipu, perkara itu sukar untuk diketahui sejak awal," katanya.Pada Januari tahun lalu, Aaron mendedahkan bahawa terdapat individu yang mengajaknya berbincang mengenai projek bernilai jutaan ringgit, namun selepas sesi pertemuan mereka hanya mengambil gambar bersamanya sebelum menghilangkan diri.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube