BERJAYA menamatkan pengajian peringkat sarjana, pelakon Zulkifli Ismail menganggap pencapaian itu sebagai usaha menebus kembali hasrat yang tertangguh sejak 40 tahun lalu.Menurut Zulkifli, 63, dia sebelum ini pernah mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, namun terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana mahu memberikan fokus kepada dunia lakonan. “Saya ada Sijil Kreatif dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1987. Saya pun dapat peluang untuk sambung ijazah, tetapi masa itu fikir nak tumpukan perhatian pada lakonan. Jadi, apabila sambung belajar peringkat sarjana, saya anggap nak tebus semula peluang yang terlepas sebelum ini.Zulkifli berkongsi kegembiraan memperoleh keputusan cemerlang. “Dalam masa sama, saya juga nekad untuk sambung pengajian kerana mahu mengasah semula kemahiran seperti berfikir dan menulis. Proses pembelajaran itu yang saya nak buat,” katanya kepada mStar.Zulkifli sebelum ini berkongsi kegembiraan apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Persembahan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi program Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau APEL.Lebih membanggakan, aktor ini memperoleh keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0.ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli Ismail hairan putik kapas lama ditemui dalam telinga - ”Sebaik saja dikeluarkan, pendengaran makin jelas” ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli Ismail jalani ujian ‘sleep studies’, bimbang nafas terhenti ketika nyenyak tidurSepanjang mengikuti pengajian selama dua tahun, Zulkifli berkata, ia bukan proses mudah kerana dia perlu membahagikan masa sebaik mungkin antara pengajian dengan jadual penggambaran, selain berdepan faktor kesihatan.“Saya sendiri tak sangka berjaya tamatkan pengajian dengan PNG 4.0. Bila dapat keputusan itu, rasa berbaloi pengorbanan selama dua tahun.“Pada peringkat awal, memang ada rasa tekanan untuk siapkan tugasan. Ditambah lagi, tahun lalu saya ada masalah kesihatan... biasalah, orang veteran. Saya tak anggap semua itu halangan, saya cuba atasi dengan baik.Zulkifli sedia berkongsi ilmu. “Sekarang ini, pastinya saya teruja untuk majlis konvokesyen. Tak sabar nak sarung jubah,” kongsinya yang bakal menerima ijazah sarjana pada majlis konvokesyen 26 November ini.Sebagai pelakon berpengalaman yang kini memiliki ijazah sarjana, Zulkifli turut memberitahu bahawa dia sedia berkongsi ilmu demi kebaikan industri seni tanah air.“Kalau ada mana-mana pihak yang memerlukan, saya sedia berkongsi apa yang telah dipelajari serta pengalaman selama 40 tahun,” ujarnya.