suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Suami dah minta berhenti menyanyi, Noraniza Idris masih ada impian belum tercapai

Noraniza menganggap diberi tempoh bonus untuk mencapai impian sebelum berhenti menyanyi.

PENYANYI Noraniza Idris menganggap peluang meneruskan kerjaya seni ketika ini sebagai tempoh bonus selepas suaminya menyarankan agar dia berhenti menyanyi pada usia 58 tahun.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, dia masih mempunyai beberapa impian yang belum tercapai dan suaminya, Jeffri Hudi memberikan keizinan untuk dia terus aktif buat sementara waktu.

Katanya, dia akan menunaikan hasrat suaminya untuk bersara selepas berjaya merealisasikan cita-cita tersebut.

“Sebenarnya bila dah sampai satu tahap, umur pun dah 58 tahun, kalau ikutkan suami dah suruh berhenti menyanyi. 

Noraniza sudah bergelar anak seni selama 40 tahun.

“Tapi masih ada cita-cita saya yang belum tercapai. Jadi suami lepaskan (beri izin). 

“Saya rasa ini adalah satu durasi bonus yang diberikan. Saya hanya buat sehabis baik dan saya akan tunaikan hajat suami bila sudah capai impian tersebut," katanya kepada mStar. 

Berkongsi impian yang masih belum tercapai, Noraniza berkata dia berharap dapat mengadakan sebuah showcase sempena 40 tahun penglibatannya dalam industri seni.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Noraniza Idris lega segala persoalan lama terjawab, terima kasih Siti Nurhaliza buka ruang eratkan ukhuwah

ARTIKEL BERKAITAN: “Gelaran ‘Ratu Irama Malaysia‘ satu amanah“ - Noraniza Idris sebak dipuji, berjuang lebih tiga dekad

Selain itu, penyanyi lagu Salam Kaut ini juga berhasrat menghasilkan sebuah album sebelum menamatkan perjalanan sebagai penyanyi.

“Impian mengadakan konsert memang belum pernah tercapai. Mungkin bukanlah satu konsert besar tapi sekurang-kurangnya sebuah showcase dalam 40 tahun penglibatan dunia seni. 

“Itu adalah antara cita-cita saya yang masih belum tercapai. Mungkin ada sebuah album lagi sebelum saya menutup tirai (bersara). Takkan kita nak menyanyi sampai umur 60 lebih tahun. 

“Insya-Allah saya akan buat dalam masa yang singkat ini tapi kita nak tenang-tenang saja. Moga semua berjalan lancar," ujarnya. 

Dalam pada itu, Noraniza turut mengulas mengenai penampilannya yang kini dikatakan semakin cantik.

Suami (kanan) beri peluang untuk Noraniza tunaikan impian sebelum bersara.

Mengakui gembira menerima pujian, penyanyi itu bagaimanapun berharap masyarakat dapat menerima dirinya seadanya tanpa meletakkan harapan terlalu tinggi.

"Bila banyak sangat pujian ni saya rasa sangat takut pada diri sendiri. Kalau boleh saya nak orang terima saya seadanya. 

"Saya rasa seronok tapi dalam masa sama ada rasa kebimbangan. Saya takut akan mengecilkan hati orang yang mengharapkan sesuatu pada saya. 

“Saya ini tiada apa-apa, saya hanya beri apa yang mampu. Jadi kalau orang boleh terima saya bersyukur sangat," katanya.

 

Artikel Lain