suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

[V] Noraniza Idris lega segala persoalan lama terjawab, terima kasih Siti Nurhaliza buka ruang eratkan ukhuwah

PENYANYI Noraniza Idris menyifatkan penerimaan masyarakat terhadap dirinya kini semakin positif apabila merasakan sudah tidak lagi berdepan kecaman seperti sebelum ini.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, 58, berkata dia berterima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menjemputnya sebagai penyanyi undangan pada Konsert Gema Bumantara pada 17 Oktober lalu.

Kata Noraniza, peluang tersebut secara tidak langsung membantu menjawab pelbagai persoalan mengenai dirinya yang sekian lama menjadi tanda tanya dalam kalangan orang ramai.

"Saya berterima kasih pada Siti sebab dia tolong jawabkan persoalan-persoalan yang orang terlalu lama bertanya tentang saya. 

Noraniza berterima kasih kepada Siti kerana memberinya peluang menjadi penyanyi jemputan di Konsert Gema Bumantara.

Noraniza berterima kasih kepada Siti kerana memberinya peluang menjadi penyanyi jemputan di Konsert Gema Bumantara.

"Jadi bila dalam konsert itu secara tidak langsung sebenarnya ia merupakan satu ukhwah yang terjalin. 

"Kita mempunyai kerjaya masing-masing yang perlu dihormati antara satu sama lain. Bila Siti menjemput saya, sekurangnya mengimbau kembali kenangan lama," katanya kepada mStar. 

Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Festival Akar Kita Zapin 2026 yang diadakan di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Ahad. 

Dalam pada itu, Noraniza turut menyifatkan penglibatan Siti dalam mengangkat genre Irama Malaysia sebagai satu rezeki besar buat penggiat muzik tradisional.

ARTIKEL BERKAITAN: Noraniza Idris sebak berduet Siti, kali terakhir berkongsi pentas di SUKOM 98

ARTIKEL BERKAITAN: “Gelaran ‘Ratu Irama Malaysia‘ satu amanah“ - Noraniza Idris sebak dipuji, berjuang lebih tiga dekad

Menurutnya, sokongan Biduanita Negara itu mampu membuka ruang lebih luas kepada genre berkenaan untuk terus berkembang dan diterima generasi baharu.

"Ia menjadi satu lipatan sejarah yang sangat dinanti-nantikan peminat. Saya melihatnya sebagai satu rezeki apabila apa sahaja yang Siti katakan, ada pengikut yang akur.

"Disebabkan itu, saya sangat berharap Siti tidak berhenti, sebaliknya terus mengangkat Irama Malaysia dengan cara tersendiri demi membuka peluang kepada generasi baharu.

"Jika kita lihat di TikTok, ramai artis mempunyai single berentak Irama Malaysia, tetapi masih belum dapat menembusi pasaran (diterima ramai). Siti menjadi suara yang mewakili semua," ujarnya. 

Berkongsi mengenai kemunculan semula dengan single baharu berjudul Salam Kaut, Noraniza mengakui masih terkejut dengan sambutan positif yang diterima daripada orang ramai.

"Sampai sekarang saya rasa macam blur sikit, bukan fasal apa. Cuma teruja apabila sudah ramai boleh menerima lagu baharu saya.

"Saya bersyukur, rasa seperti macam ini ke rasanya bila orang hargai lagu kita. Apa yang saya buat untuk lagu ini?" katanya. 

Noraniza tidak menyangka kemunculan semulanya diterima ramai.

Noraniza tidak menyangka kemunculan semulanya diterima ramai.

Dalam perkembangan lain, Noraniza turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang mendekatkan masyarakat dengan seni zapin menerusi festival yang dianjurkan.

Menurutnya, program seumpama itu penting bagi memastikan warisan budaya terus dipelajari dan diamalkan oleh generasi akan datang.

"Generasi pelapis perlu berpeluang mengenali pemegang ilmu, memahami asal usul gerak serta menghayati adab dan nilai di sebalik persembahan.

"Pembelajaran secara percuma membuka akses yang lebih luas kepada masyarakat. Pada masa yang sama, pertemuan antara generasi membolehkan ilmu disampaikan secara langsung, membina keyakinan peserta dan menumbuhkan rasa bangga terhadap budaya sendiri," katanya.

 

 

 

Artikel Lain