Harga emas menyusut cetus persoalan sama ada ia masa sesuai untuk membeli atau menunggu harga lebih rendah. -Foto RAJA FAISAL HISHAN/SMG
TREND penurunan harga emas sejak pertengahan Oktober lalu mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai, sama ada keadaan itu merupakan peluang keemasan untuk menambah pegangan atau isyarat supaya menunggu sehingga harga kembali stabil.Perkara itu dikongsikan Perancang Kewangan Islam, Afyan Mat Rawi menerusi satu perkongsian yang menjelaskan beberapa perkara penting sebelum seseorang membuat keputusan membeli emas ketika harganya sedang menyusut. Menurutnya, berdasarkan data Bank Negara Malaysia, harga jualan Kijang Emas satu auns turun daripada RM18,170 pada 12 Oktober kepada RM17,510 pada 29 Oktober 2026, iaitu penurunan sebanyak 3.6 peratus.Sementara itu, rekod harga spot emas 24 karat dalam RM menunjukkan penyusutan daripada sekitar RM547.23 kepada RM524.19 segram dalam tempoh sama, bersamaan penurunan 4.2 peratus."Kenapa harga emas turun? Antara faktornya ialah kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kekuatan dolar, inflasi, permintaan bank pusat dan perkembangan geopolitik. Pergerakan ringgit juga mempengaruhi harga emas di Malaysia," katanya.Penyusutan harga emas boleh menjadi peluang kepada pelabur jangka panjang. -Foto RAJA FAISAL HISHAN/SMGMengulas lanjut, Afyan menyenaraikan empat perkara yang perlu difahami pembeli ketika menghadapi fenomena penurunan harga pasaran:1. Bezakan pemikiran pelabur dan pedagang (trader)- Pelabur membeli emas untuk membina aset bagi tempoh jangka panjang iaitu mungkin lima, 10 atau 20 tahun.- Apabila harga turun, mereka melihatnya sebagai peluang menambah pegangan pada harga lebih rendah.- Pedagang pula mencari keuntungan melalui pergerakan harga jangka pendek dan perlu mahir membaca pasaran, menentukan masa membeli serta menjual dan mengurus risiko.- Tidak salah menjadi pedagang, namun seseorang tidak sepatutnya mengaku sebagai pelabur jangka panjang tetapi mula panik dan mahu menjual apabila harga turun beberapa hari.2. Harga turun boleh menjadi peluang membeli- Tiada siapa mengetahui dengan tepat bilakah harga emas akan mencapai paras paling rendah.- Harga yang dianggap murah hari ini mungkin menjadi lebih murah pada keesokan harinya.- Bagi pelabur jangka panjang, pembelian secara berperingkat boleh dipertimbangkan menerusi strategi Dollar Cost Averaging (DCA).- Strategi itu membolehkan pembelian dilakukan secara konsisten tanpa perlu mengeluarkan semua modal dalam satu masa.3. Jangan mengharapkan keuntungan segera- Emas mempunyai turun naik harga atau volatility yang boleh menjadi tinggi.- Emas fizikal turut mempunyai spread, iaitu perbezaan antara harga jualan dengan harga belian balik.- Sebagai contoh, pada 29 Oktober, harga jualan Kijang Emas satu auns ialah RM17,510, manakala harga belian balik hanya RM16,816.- Perbezaan itu menyebabkan pelabur berdepan kerugian hampir empat peratus sekiranya terus menjual emas berkenaan, walaupun harga pasaran tidak berubah.- Justeru, pelaburan emas untuk mendapatkan keuntungan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan kurang sesuai bagi kebanyakan pelabur biasa dan lebih memerlukan kemahiran pedagang jangka pendek.4. Fokus kepada matlamat jangka panjang- Emas sesuai dijadikan salah satu aset untuk pemeliharaan nilai dan kepelbagaian portfolio, bukannya instrumen untuk mendapatkan kekayaan dalam masa singkat.- Gunakan wang lebihan untuk membeli emas dan bukannya dana kecemasan.- Elakkan membuat pinjaman atau berhutang semata-mata untuk membeli emas.- Pelaburan jangka panjang juga tidak menjamin keuntungan kerana harga emas tetap boleh naik dan turun.Merumuskan perkongsiannya, Afyan menegaskan penyusutan harga emas boleh menjadi peluang kepada pelabur jangka panjang, namun berisiko menjadi perangkap kepada mereka yang mengejar keuntungan segera.Katanya, seseorang tidak perlu terlalu obses mencari harga paling rendah kerana perkara lebih penting ialah menetapkan matlamat, mengambil kira kemampuan kewangan dan mengekalkan disiplin dalam pelaburan."Beli emas untuk membina aset, bukan berjudi dengan pergerakan harga."Harga boleh turun naik. Disiplin kewangan mesti kekal," katanya.