suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Amirah Razak ikut prinsip June Lojong, tolak jalan pintas untuk popular

Amirah mahu terus pertaruhkan bakat dalam lakonan.

PELAKON Amirah Razak mengakui tidak terlalu mengejar populariti kerana baginya, peluang untuk terus berkarya lebih penting daripada dikenali ramai.

Amirah atau nama sebenarnya Nur Amirah Haisyah Abdul Razak, 27, berkata dia mempunyai sedikit perasaan takut terhadap populariti kerana menyedari setiap kejayaan hadir dengan cabaran dan dugaan tersendiri.

“Sejujurnya, saya agak takut dengan populariti. Berada di puncak ada pelbagai ujiannya.

“Saya bukan mencari jalan pintas untuk segera dikenali. Apa yang saya mahukan adalah berkarya dan berlakon,” katanya.

Amirah mengagumi bakat June (kiri). 

Pelakon teater itu turut mengakui menjadikan aktres June Lojong sebagai inspirasi dalam membina perjalanan seni.

Menurut Amirah, dia mengagumi pendekatan June dalam mengembangkan kerjaya lakonan sehingga tidak kisah sekiranya populariti hadir secara perlahan.

“Kalau orang tanya siapa pelakon kegemaran saya, saya selalu sebut nama June Lojong.

“Arah tuju saya sebagai pelakon berpandukan kepada cara dia. Sebab itulah kalau populariti hadir secara perlahan pun saya tidak kisah kerana saya berpegang kepada pendekatan June Lojong,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Ahnaf trauma jadi penagih dadah dalam Baga, takut duduk sendiri hingga ajak adik-beradik teman selepas penggambaran 

ARTIKEL BERKAITAN: Ariff Zulkarnain tunggu dua tahun lulus LPF, filem ‘Baga‘ bukan rai gejala dadah

Bagaimanapun, Amirah kini bersedia memberikan lebih tumpuan kepada bidang lakonan selepas membintangi filem Baga: Esok Untuk Siapa.

Katanya, dia terbuka menerima lebih banyak tawaran lakonan jika tiada halangan, namun pada masa sama tidak menolak peluang untuk kembali bertugas sebagai kru produksi.

“Insya-Allah, jika tiada halangan saya bersedia untuk lebih aktif, tetapi pada masa sama saya tetap terbuka jika ada peluang bertugas sebagai kru,” kongsinya.

Kalau orang tanya siapa pelakon kegemaran, saya selalu sebut nama June Lojong

AMIRAH RAZAK 

PELAKON 

Tambah Amirah, pengalaman bekerja di belakang tabir membuatkan dia lebih memahami realiti industri seni yang turut mengambil kira aspek komersial dalam pemilihan pelakon.

Graduan teater ini pada awalnya pernah mempersoalkan mengapa individu dengan jumlah pengikut media sosial yang ramai lebih mudah mendapat peluang berbanding mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang lakonan.

Namun, selepas terlibat sendiri sebagai kru produksi, dia mula memahami pertimbangan pihak penerbit dalam memilih seseorang pelakon.

Amirah sedia menggalas pelbagai watak dalam lakonan. 

“Dulu saya tertanya-tanya, tetapi apabila masuk ke lapangan industri dan bekerja sebagai kru, saya mula faham kenapa pihak penerbit memilih pelakon yang ada pengikut. Pada akhirnya, ini adalah satu perniagaan,” jelasnya.

Filem Baga: Esok Untuk Siapa arahan Ariff Zulkarnain menampilkan gandingan pertama Amir Ahnaf bersama Amirah yang membawakan watak Melur sebagai teraju utama.

Naskhah terbitan Indigo Films bergenre jenayah dan drama itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 5 November ini.

Artikel Lain