Gambar dikongsikan seorang pelayar Threads dipercayai penuntut UniMAP ketika mengikut sebuah program raptai pada Jumaat.
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) tampil memberi penjelasan susulan isu tular berhubung pelaksanaan sesi raptai bagi salah satu program rasmi institusi berkenaan yang berlangsung pada Jumaat.Dalam kenyataan bertarikh 31 Oktober, universiti tersebut memaklumkan akan meneliti dan menambah baik aspek pengurusan serta penyelarasan program agar dilaksanakan dengan lebih teratur selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, serta mengambil kira kebajikan semua pihak yang terlibat. "UniMAP sentiasa meletakkan kebajikan, keselesaan dan keselamatan mahasiswa sebagai keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan aktiviti serta program universiti."UniMAP menghargai keprihatinan dan maklum balas yang diberikan oleh semua pihak. "Pandangan tersebut merupakan input konstruktif dalam usaha universiti memperkukuh mutu pengurusan serta meningkatkan kualiti pengalaman mahasiswa sepanjang berada di kampus," demikian menurut kenyataan berkenaan.Kenyataan UniMAP susulan isu tular mengenai program raptai institusi berkenaan baru-baru ini. Terdahulu, beberapa individu dipercayai penuntut UniMAP berkongsi luahan kecewa di media sosial yang mendakwa para pelajar 'dijemur' beberapa jam ketika cuaca panas di sebuah dataran sewaktu program raptai. Situasi berkenaan didakwa turut menyebabkan ada pelajar yang pengsan."Suhu 32 darjah celsius, bontot terbakar masih paksa duduk. Jerit macam latih askar, pitam tak ada buat apa, pakai payung pun cakap kami lembik, heret program sampai kami semua tak sempat solat Asar. "Ada yang kolej jauh nak tunggu bas tu pun satu hal, nak sampai kolej tu confirm dah Isyak. Jadi Asar, Maghrib, Isyak kami tunda solat," demikian menurut salah satu hantaran yang tular.Susulan hantaran tular itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut menggesa pihak universiti memberikan penjelasan."Saya menerima maklumat berhubung dakwaan berlaku isu di UniMAP apabila pelajar dikatakan terpaksa duduk di tengah panas, malah ada yang tidak sempat menunaikan solat."Saya ingin mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan mengenai perkara ini."Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengetahui kejadian sebenar, mohon kongsikan kepada saya untuk tindakan dan perhatian selanjutnya," tulisnya.