suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Isteri sebak terima skrol MBA bagi pihak pegawai bomba hilang di Nepal

Foto kiri menunjukkan Azila bersama Mohd Sani ketika bertugas sebagai anggota bomba manakala gambar kanan momen dia menerima skrol bagi pihak suami.

DETIK indah yang ditunggu-tunggu bertukar duka apabila anggota bomba, Mohd Sani Harul tidak sempat meraikan kejayaannya menggenggam skrol Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) selepas dilaporkan hilang dalam tragedi runtuhan glasier dan banjir kilat di Nepal pada 28 Ogos lalu.

Sebaliknya suasana pilu menyelubungi Majlis Konvokesyen Ke-29 City University Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu, apabila isterinya, Nor Azila, hadir mewakili suaminya untuk menerima skrol berkenaan.

Namun sesuatu yang membanggakan apabila Penolong Pesuruhjaya Bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu berjaya menamatkan pengajian pada Januari lalu dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.76.

Untuk rekod, kehilangannya dilaporkan selepas dia gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di daerah Rasuwa, Nepal, berhampiran sempadan negara itu dengan Tibet.

Mohd Sani bersama seorang lagi pegawai JBPM, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang dalam perjalanan menuju ke Kem Pangkalan Everest (EBC).

Azila menerima skrol MBA bagi pihak suaminya, Mohd Sani di Majlis Konvokesyen Ke-29 City University Malaysia pada Sabtu.

Kumpulan itu dilaporkan berlepas ke Nepal pada 24 Ogos 2026 untuk melakukan aktiviti trekking dengan menaiki jip melalui laluan Tibet.

Sehingga kini, Mohd Sani masih belum ditemukan.

Di sebalik komitmen terhadap kerjaya dan keluarga, Mohd Sani turut memberi perhatian kepada pembangunan akademik dengan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Dia juga menyimpan hasrat untuk menceburi bidang pendidikan sebagai pendidik dan pakar motivasi selepas bersara bagi berkongsi ilmu, pengalaman profesional serta pengajaran kehidupan dengan generasi akan datang.

Menurut Azila, suaminya sentiasa menekankan kepentingan usaha gigih dan keazaman dalam mengejar impian tanpa mudah berputus asa.

"Usia bukan penghalang. Sentiasa berusaha dengan gigih, kejarlah impian dan jalani kehidupan dengan sepenuh hati," demikian kata-kata yang sering ditekankan Mohd Sani.

Sementara itu City University Malaysia menyifatkan pencapaian akademik Mohd Sani sebagai bukti ketekunan dan komitmennya terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Selain itu, universiti berkenaan turut menyifatkan penyerahan skrol MBA kepada Nor Azila sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pengorbanan Tuan Sani sepanjang tempoh pengajian.

Artikel Lain