TINDAKAN nekad seorang pemandu van merempuh palang tol ketika cuba melarikan diri daripada buruan polis di Lebuhraya Maju (MEX) mencuri perhatian selepas video kejadian itu tular di media sosial.Menerusi video berdurasi 30 saat itu, lelaki terbabit dilihat cuba membuat bayaran tol namun gagal sebelum anggota polis yang berada di belakang kenderaannya keluar untuk membuat penahanan. Walaupun sempat berlaku pergelutan ringkas antara anggota polis dan lelaki berkenaan, suspek kemudian bertindak agresif merempuh palang tol lalu memecut meninggalkan lokasi.Kejadian itu berlaku pada Sabtu.Sementara itu dalam perkembangan terbaharu pada Ahad, lelaki berusia 41 tahun itu berjaya ditahan polis pada hari sama di Persiaran APEC, Cyberjaya selepas aksi kejar-mengejar sejauh berpuluh kilometer dari Sri Petaling, Kuala Lumpur.Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian bermula kira-kira pukul 1.20 tengah hari ketika anggota polis sedang melakukan rondaan menggunakan kenderaan peronda di Jalan Merah Silu, Sri Petaling.Menurutnya, anggota polis melihat sebuah van jenis Nissan Vanette dipandu suspek sambil menggunakan telefon bimbit sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.Bagaimanapun, pemandu terbabit bertindak membuat pusingan U sebelum melarikan diri sehingga menghala ke Lebuh Raya MEX.Suspek kemudian berjaya ditahan di Persiaran APEC, Cyberjaya dan pemeriksaan terhadap kenderaan itu tidak menemui sebarang barang salah.Hoo berkata, lelaki berkenaan turut dipercayai melanggar beberapa kenderaan sepanjang laluan dari Sri Petaling ke Cyberjaya.Katanya, pemandu kenderaan yang terlibat akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu kepada pihak trafik.Tambahnya, lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik.Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.Suspek kini dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.