BERITA duka menyelubungi landskap politik Perlis apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad meninggal dunia pada petang Sabtu.Allahyarham yang juga wakil rakyat daripada PAS menghembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis pada pukul 4.26 petang. Berita pemergian beliau disahkan Ketua Penerangan PAS Perlis, Mohamad Zahid Ibrahim menerusi hantaran di Facebook parti itu.Mohamad Zahid turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.Untuk rekod, Wan Badariah memenangi kerusi DUN Mata Ayer menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli bermula November 2022 hingga Disember 2025.Pemergian beliau menyaksikan kedudukan PAS kini diimbangi dengan lima kerusi Adun dalam Dewan Undangan Negeri Perlis yang mempunyai keseluruhan 15 kerusi, sekali gus menyamai jumlah kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).Pada masa sama, perkembangan terbaharu ini menjadikan empat kerusi DUN di negeri berkenaan kini kosong iaitu Mata Ayer, Chuping, Bintong dan Guar Sanji.Sebelum ini, kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji dikosongkan susulan tindakan pemecatan tiga wakil rakyat PAS pada Disember tahun lalu.Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).Ketiga-tiganya merupakan antara lapan Adun Perikatan Nasional (PN) yang menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri ketika beliau menerajui pentadbiran negeri.Susulan daripada itu, Mohd Shukri kemudian meletakkan jawatan pada 25 Disember atas faktor kesihatan sebelum Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu pada 28 Disember.