KEMALANGAN merupakan insiden paling ditakuti pengguna jalan raya kerana bukan sahaja berisiko menyebabkan kecederaan, malah boleh mengorbankan nyawa.Selain itu, kos pembaikan kenderaan yang tinggi akibat musibah berkenaan turut memberi bebanan kewangan kepada pemandu. Namun, ramai pemandu sebenarnya tidak mengetahui bahawa kerosakan kenderaan yang berpunca daripada jalan raya berlubang atau tidak rata boleh dituntut ganti rugi secara sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).Sekiranya kereta mengalami kerosakan seperti tayar pecah ataupun rim bengkok berpunca daripada jalan yang tidak diselenggara dengan baik, pengguna berhak untuk membuat tuntutan ganti rugi tanpa sebarang bayaran proses.Hal itu dikongsikan seorang pengguna Threads, Kio Khairul yang pernah berdepan dengan situasi berkenaan."Apabila tayar meletup atau rim pecah jangan terus jalan. Berhenti dekat tempat selamat dan kumpul bukti-bukti yang perlu, tangkap gambar dengan segera."Gambar lubang jalan tersebut perlu diambil secara close-up dan juga pandangan jauh untuk tunjuk struktur jalan."Kumpul bukti kerosakan kenderaan seperti pada tayar, rim atau bampar. Ambil screenshot lokasi tepat di Waze atau Google Maps. Jika ada dashcam, simpan rakaman saat anda terlanggar lubang itu," katanya.Bagi melengkapkan proses permohonan, pemilik kenderaan dikehendaki membuat laporan di balai polis berdekatan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian, serta memastikan salinan laporan polis disimpan rapi bagi memudahkan urusan tuntutan."Bawa kereta itu ke bengkel untuk tukar tayar atau rim yang rosak. Paling penting, minta resit rasmi dan senarai invois bagi setiap komponen yang ditukar."Minta pihak bengkel tulis ulasan ringkas dalam invois menyatakan kerosakan adalah konsisten akibat impak objek tajam atau jalan berlubang."Kena tahu juga jalan itu di bawah jagaan siapa sama ada jalan bandar atau perumahan di bawah PBT seperti DBKL,MBPJ, MBSA, MPK atau MPPP," kongsinya lagi.Sekiranya proses tuntutan ganti rugi mengambil masa terlalu lama, pemilik kenderaan disarankan membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di bawah Biro Pengaduan Awam (BPA) untuk tindakan yang lebih pantas.